Tuesday, 27 November 2018

Aku Ingin Bahagia 11


Alhamdulillah…dah kembali isteriku dan anakku…Aku membelek tubuh Elaine cuba mencari sebarang kesan luka atau lebam. Walau ada segaris luka memang akan kukerjakan dua ekor itu semaunya.
“Mommy ada pukul kakak?”
“Itu mommy kakak?” Elaine membuat muka hairan. Hampir menitis air mataku mendengar soalan Elaine.
“Hmm…tak apalah. Elaine jangan ingat dia lagi ye. Elaine dah ada daddy, mama, mummy dan aki. Cukuplah, kan? Tak lama lagi kakak ada baby kecil tau.” Dengan perlahan Elaine turun dari riba Hanim. Perlahan juga dia menolak tubuh mamanya supaya baring.
“Betul? Mama ada baby kecil sini?” Tangan comelnya menyentuh perut Hanim. Sekali lagi dia menyingkap baju hospital yang dipakai Hanim. Dicium perut mamanya kemudian diletak telinga konon mendengar suara baby. Aduhai anakku…tak sabarnya nak jadi kakak.
“Kakak tolong jaga baby, jaga mama nanti ye…”
“Okey daddy.” Hanim membisu tanpa suara. Hanya air mata saja yang mengalir. Haila…makin cengeng dia ni.  
Malam ini kami tiga beranak berkampung di hospital. Hanim masih belum boleh keluar dari wad. Elaine pula enggan pulang mengikut mummy dan akinya. Rasanya dia masih trauma berpisah secara paksa dengan mamanya. Dari tadi dia tidak mahu turun dari katil. Cik jururawat pun tidak dapat memaksa. Akhirnya dia baring menyempit di sisi mama.
“Daddy nak tidur di mana?” Aku olok-olok membuat muka sebek tetapi Elaine hanya ketawa. Dia menunjuk ke arah kerusi malas yang disewa dari pihak hospital. Hmm…kesian daddy….
“Abang…” Hanim merenungku dengan pandangan penuh persoalan. “Tolong bagi tau, saya kahwin dengan siapa sebenarnya?” Aduh…keluar balik dah ‘saya’ dia…
“Sayang kan kenal abang hampir 10 tahun? Suami sayang ni orang yang paling macho, baik hati, rajin, handsome dan lain-lain lagi.” Sengihku sikit punya lebar tapi tidak bersambut. Dia hanya mengeluh dan memalingkan wajahnya ke sisi lain.
“Sayangggg…tak baik tau berpaling muka dari suami. Tak ada apa dah rahsia abang. Semua abang dah share dengan sayang…” Dia berpaling ke arahku tapi matanya pejam rapat.
“Sayangggg…sayang tau tak, banyak sangat pahala kalau isteri pandang suami dengan rasa kasih?” Perlahan dia membuka matanya memandangku.
“Sayanggg…sayang nak pahala lebih tak?” Tanpa penjelasan lanjut dia mengukir senyuman walaupun tak semanis biasa. Aduhai…mujur di hospital. Kalau tidak…hmm… Aku mendekatinya serapat mungkin. Kubelai rambut hitamnya, kukucup ubun-ubunnya.
“Sayang…terima kasih sebab percayakan abang. Abang minta maaf buatkan sayang susah hati tapi percayalah, abang masih waras untuk buat benda-benda yang tak betul. Abang hanya nak pertahankan hak abang. Abang nak lindungi sayang macam abang janji sebelum kita kahwin dulu, ingat tak? Abang nak jaga Elaine lebih dari abang jaga nyawa abang sendiri. Abang janji lepas sayang sihat abang akan cerita semua kat sayang. Tak ada dah walau sehelai benang tutup rahsia abang. Dan tak ada sehelai benang tutup badan abang.” Aku mengenyit mata.
“Isyy…abang ni. Kalau tak kena cubit sehari memang tak boleh kan? Asyik mengarut je. Orang tanya betul-betul.” Aku ketawa senang. Hanim kembali senyum dan kembali mencubit. Tanda okey la tu….
Tak sedar bila masa terlelap, tau-tau cik misi mengejutkan aku dari tidur yang tak berapa lena.
“Encik, katil ni untuk satu orang saja. Boleh roboh kalau naik bertiga.” Alamak, malunya. Macam mana boleh tak sedar menghimpit Hanim dan Elaine atas katil pesakit. Cik misi mengulum senyum.
“Maaf cik, maaf…” Aku cuba mengangkat Elaine tapi dilarang oleh cik misi yang baik hati.
“Anak tak apa tidur atas, tapi daddy tidur di bawah ya…sesak nafas nanti puan isteri tu, penyakit lain pulak yang datang.” Ewah…selamba dia perli aku…haha…dah memang salah sendiri.
Waktu sedang menghampiri subuh. Aku mengambil peluang ini melakukan solat hajat dan solat tahajjud di sisi katil isteri tercinta. Lama aku bersujud menzahirkan rasa syukur yang teramat atas perlindungan Allah kepada isteri dan anak kesayanganku. Tak tergambar olehku jika sesuatu yang buruk terjadi ke atas keduanya. Ya Allah…aku bersyukur atas segala nikmat dan rahmat dariMu. Aku membangunkan Hanim untuk solat subuh. Agak payah juga pergerakannya dengan tiub yang masih bersambung dengan tubuhnya. Apapun kewajipan ini harus disegerakan.
Pemeriksaan pagi ini dilakukan oleh seorang doktor wanita. Dia mengesahkan kandungan Hanim berusia empat minggu. Dengan tekanan darah yang masih agak rendah, berbakul-bakul nasihat puan doktor kepada kami berdua. Tidak lupa juga ‘buah tangan’ berupa ubat-ubatan yang harus ditelan setiap hari mengikut sukatan dan masa tertentu. Tengok ubat pun aku jadi kenyang. Hanim dibenarkan pulang ke rumah. Cumanya dia harus meneruskan pemeriksaan kandungan di klinik ibu dan anak setiap bulan. 
Sampai di rumah kami mummy dan daddy sedia menunggu. Mummy telah pun menyediakan sup ayam kampung buat menantu kesayangannya. Nampak riak terharu di wajah isteriku. Dia tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mestilah suka kena layan dengan baik oleh mummy dan daddy. Elaine sudah melompat keriangan dalam dukungan akinya sambil mulut becok bercerita.
“Aki, kakak mau dapat baby tau. Baby ada sudah dalam perut mama.” Daddy tersenyum lebar. Mummy pula segera memeluk Hanim. Gembira benar kedua orang tuaku mahu menyambut cucu kedua.
“Syukur pada Tuhan…mummy gembira betul ni. Babang, tidak mahu bikin makan-makan tanda syukur?” Aku mengangguk. Memang ada dalam perancanganku untuk membuat sedikit kenduri kesyukuran.
“Malam minggu ni la kan? Minta tolong Ros buatkan nasi kerabu special.”
Keesokan paginya…
“Sayang take care, okey…if anything just call abang. Don’t forget to eat and take your medicine, don’t open the door to strangers, don’t forget that I love you so much…”
 Hanim hanya mendiamkan diri mendengar pesanan penaja dariku. Macamlah nak pergi sebulan, padahal sekerat hari je. Tapi memandang wajah monyoknya bikin hatiku penasaran. Apa lagi yang tak kena?
“Kenapa ni sayang? Abang pergi sekejap saja. Kalau boleh abang pun nak cuti sakit macam sayang…tapi doktor tak nak bagi…” Kalau gurauku tak bersambut memang adalah yang tak kena ni…Dia tunduk mencium tanganku.
You owe me an explanation, abang…”
“Sayang, nanti kita bincang lagi pasal ni ye…tapi percaya kat abang, okey? Abang pegi dulu. Love you…” Aku mengucup dahinya lantas bergegas ke sekolah dengan separuh hati tertinggal di rumah!
Macam mana nak buat kerja kalau hati tinggal separuh? Aduh…Lamunanku terhenti oleh ketukan di pintu bilikku.
Good morning, bos. Sorry ganggu…” Amzar terpacul di muka pintu. “Boleh jumpa abang sekejap? Personal.” Aku mengangguk. Amzar duduk di depanku. Dia menghulurkan telefon bimbitnya. Dahiku berkerut. Apa kes? Kerutan dahiku bertambah tebal setelah membaca pesanan ringkas untuknya.
- Am, aku nak jumpa kau. Aku rasa Abang Jeff sembunyikan sesuatu. Aku takut…
+ Anim, benda ni boleh bincang. Jangan simpan sangka buruk dgn abg Jeff. Dia sayang kau.
Amzar menunjukkan pesanan ringkasnya. Aku angguk setuju sebelum dia menekan butang ‘hantar’.
“Saya tak nak abang sangka bukan-bukan sebab tu saya jumpa abang ni. Memang kami sangat rapat sebelum ni. Tapi lepas dia jadi milik abang saya tak mau jadi bff dia lagi. Saya tau abang memang sayang dia dan akan jaga dia baik-baik.”
“Salah tu, Am. Abang bukan sayang dia tapi abang sayang dia sangat-sangat. Tak melampau kan kalau abang kata dialah nyawa abang? Tapi abang tak faham apa yang dia nak tau sangat cerita lama abang?
“Saya pun nak tau juga, betul ke abang ni...err…ahli kongsi gelap? Maaf, bang. Benda yang jadi kat hospital hari tu buatkan kami tertanya-tanya…” Amzar menunjukkan muka serba salahnya.
Aku mengeluh berat. “Tak ada la, Am…tu cuma geng lama abang je. Kami berkawan sejak sekolah rendah lagi. Joe tu berlakon je garang disebalik cermin mata hitam dia tu. Joe, Alex dengan ada lagi beberapa orang. Masa muda dulu selalu lepak sama-sama tapi tak ada la buat benda-benda mengarut. We just protecting each other
“Sebaiknya abang terus terang saja dengan Anim. Tak elok ada rahsia suami isteri…”
Kalau Amzar tak percaya apa boleh buat, dia hanya seorang kawan. Tapi kalau isteri sendiri pun tak percaya terasa sungguh sakitnya tuh di sini! Aku cuba untuk pulang awal memujuk buah hati pengarang jantungku, tapi malangnya di saat akhir aku dipanggil ke Jabatan Pendidikan Daerah. Bos besar nak jumpa. Sampai di rumah sudah lewat petang. Hanim menyambutku dengan wajah yang redup. Mahal betul senyumannya. Sabar Jeffry, isteri kau tu mengandung, hormon tak stabil tu. Elaine pulak meragam minta di bawa ke kedai membeli kertas lukisan bagai. Hai…tak sempat lagi nak mulakan sesi pujuk memujuk. Dia tetap menghidangkan makan malam tapi seleraku mati. Ada pulak biarkan aku mengadap makanan sorang-sorang. Sudahnya aku angkat kaki ke masjid dengan perut kosong. Sampai hati sayang buat abang macam ni…Eh, aku pulak yang merajuk ni apa hal?
Aku masih di perkarangan masjid selepas menunaikan solat isya’ bila telefon bimbitku bergetar. Pesanan bergambar dari Joe. Seseorang di hadapan rumahku.
- dia berada di sana dalam tiga minit. Menangis. Hanim tidak kasi masuk. Hanya bercakap melalui gril yang berkunci. Dia pegang tangan Baby. Sudah beredar.
+ thanks Joe. Aku pulang sekarang.
Aku sampai di hadapan rumah lantas memberi salam. Elaine membuka pintu. Kulihat wajahnya yang selamba tanpa reaksi pelik.
“Mana mama?” Tanyaku sambil mendukung Elaine.
“Mama di dapur. Daddy, mama nangis.” Reporterku mula memberi laporan. “Tadi ada orang datang. Dia pegang tangan kakak, dia cium kakak di sini.” Elaine menyentuh pipinya. “Lepas tu dia nangis. Mama pun nangis.”
“Sapa orang tu?”
“Yang di hospital tu. Yang uncle jahat marah dia tu. Yang daddy bilang mommy kakak. Daddy, dia mommy kakak?” Kesimpulanku, Elaine masih tidak menerima adalah Hazel ibunya, yang dia ingat hanya Joe sebagai ‘Uncle jahat’! Kesian Joe. 
“Err…kakak kasi siap lukisan tu. Lukis cantik-cantik tau. Nanti hadiah mama biar mama senyum, okey?”
“Okey, daddy. Kakak mau mama senyum tidak nangis lagi.” Bersemangat sekali Elaine. Apa saja untuk mama dia sanggup!
Aku melangkah perlahan ke dapur. Isteriku pegun mengadap sinki. Kulingkarkan tangan ke pinggangnya. Dia terkejut dan dengan cepat mengeringkan air mata dengan lengan bajunya.

No comments:

Post a Comment