Tuesday, 16 October 2018

Aku Ingin Bahagia 5


“Ya Allah…apa abang buat ni?” Aku terpegun berdiri sambil menutup mulutku. Perasaan terharu, malu, teruja semua berkumpul menjadi satu. Beberapa pengunjung sudah mula mengeluarkan telefon bimbit masing-masing. Aduh...pastilah peristiwa ini akan tular tak lama lagi. Beberapa komentar juga kedengaran pada cuping telingaku.
“Wah…romantik la brader tu…”
“Eh...cepat-cepat rakam…”
“Sis, cepat terima…kalau tidak mahu kasi saya saja…” lalu disambut gelak tawa.
Aku cuma mampu mengangguk kepala perlahan. Air mata sudah laju mengalir di pipiku.
“Encik, boleh saya bantu untuk sarungkan cincin?” Tiba-tiba seorang wanita berdiri di sebelahku menawarkan dirinya. Manager di sini rupanya. Jeffry berdiri lantas segera menghulurkan kotak berisi cincin kepada wanita itu. Perlahan wanita itu mencapai tanganku dan menyarungkan cincin ke jari manisku. Aku pandang Jeffry, dia membalas dengan isyarat yang hanya difahami aku ‘terima kasih, sayang…’
Seluruh premis riuh kembali. Kali ini dengan tepukan gemuruh dan ucapan tahniah. Beberapa pengujung bersalaman dengan kami.  Aku dan Jeffry meninggalkan premis yang akan menjadi kenangan seumur hidup kami dengan ucapan terima kasih kepada semua. Perasan artis pun ada bila kami melangkah sambil melambai tangan kepada semua pengunjung dan staf.
Kami sampai semula ke rumah Amzar dan Roslina ketika matahari sudah meninggi. Tidak sedar lama juga kami di sana. Di muka pintu sudah menunggu buah hatiku si Elaine. Di belakangnya berdiri Amzar dan Roslina dengan wajah penuh pertanyaan. Apabila Jeffry mengangkat tinggi kedua tangannya sambil menunjukkan isyarat ‘bagus’ sambil tersenyum, itu sudah memadai untuk difahami keduanya. Elaine berlari mendapatkan kami dan segera memeluk kakiku.
“Eh…ingatkan mau peluk daddy?”  Jeffry mendepakan tangan tapi hanya memeluk angin…haha…Jeffry segera mendapatkan Amzar, bersalaman, berpelukan serta berbisik-bisik. Entah apalah komplot antara keduanya.
“Elaine rindu mama dia tu. Entah berapa kali tanya mana mama sejak bangun tidur.” Aku tunduk mencium rambut Elaine. Roslina turut mengusap rambut anak ini. Siapa yang tak jatuh kasih dengan kecomelannya. Aku dapat merasakan Elaine tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi dari seorang ibu. Persoalanku belum terjawab. Di mana Hazel? Susah benar Jeffry untuk merungkaikan semua tanda tanyaku. Konon tadi berjumpa untuk menjawab soalan, sudahnya aku yang beri jawapan. Ini sungguh tidak adil!  
Tiba-tiba...
“Anim!” Roslina memelukku dengan erat. Dia segera menggapai tanganku dan menayangkan jari manisku ke arah Azmar.
“Abang, tengok sini!” Eh…dia pulak yang lebih excited seolah dia yang dilamar. Amzar sudah terlebih lebar senyuman macam nak dapat menantu. Hisyy…aku pula yang keliru.
Kami sama-sama masuk ke dalam rumah. Aku cuba mengambil nafas. Tenang Anim, tenang... Ini hanya permulaan.
“Am, Ros, ini abang nak buat official announcement, Anim dah terima abang. Abang rasa sangat bersyukur. Abang nak minta tolong lagi kat kau orang berdua untuk uruskan hal kami ni. Maklumlah parents abang tak akan turun tangan dalam hal nikah kahwin abang.”
Aku memandang Jeffry. Semua berkenaannya masih lagi misteri buatku. Jeffry membalas pandanganku dengan wajah minta simpati. “Honey, abang minta maaf lagi sebab…”
“Sebab satu soalan Anim pun abang tak jawab. Tapi abang buat Anim terima abang depan orang ramai tadi.”
“Anim, kau jangan buat hal. Nak tarik balik ke?” Nah, Hitler sudah bersuara.
“Am, jangan marah dia. Abang yang salah sebab tak berterus terang dalam banyak hal. Boleh tak bagi kami berdua masa?”
Amzar mengangguk perlahan. Dia menarik tangan isterinya meninggalkan kami berdua.
Jeffry memandangku semula.
“Abang akan mula dengan kenapa abang kahwin dengan Hazel. Abang harap sangat-sangat Honey tak terfikir untuk tolak lamaran abang. Please, sayang…abang tak sanggup kehilangan Honey buat kali kedua. Kalau mungkin Honey masih marah abang, marahlah tapi pandanglah Elaine.  Mungkin abang kedengaran selfish, ya abang mengaku. Dalam hidup abang sekarang tak ada yang lebih penting dari Elaine. Abang akan buat apa saja untuk dia. Dia sangat sayangkan Honey, sangat perlukan Honey untuk ganti kasih mommy yang tak pernah dia dapat.”
Mataku sudah mula merah. Kugagahkan diri untuk bersuara tanpa kedengaran sebak.
“Abang nak Anim terima sebab simpati? Abang gunakan Elaine?”
“Ya, asalkan Honey terima kami berdua. Katalah apa saja abang terima. Tapi Honey sedar kan yang abang memang sayangkan Honey sejak dari dulu?”
Aku hanya mendiamkan diri.
“Okey…abang nak mula cerita. Lepas Masri cakap dia bakal tunang Honey, abang rasa macam nak terjun bangunan. Kecewa tak tau nak cakap.  Abang pergi sambung belajar, tak mau fikir pasal Honey lagi. Lepas tamat master abang minta posting sekolah lain. Abang fikir masa tu Honey dah bahagia dengan Masri. Abang pun malas nak ambil tahu pasal Honey lagi. Masa tu abang hidup macam robot. Abang jadi murung, pendiam, tak mau bergaul dengan orang. Pegi kerja, balik abang akan berkurung dalam bilik.”
Jeffry menarik nafas panjang.
“Mummy paksa abang kahwin. Dia carikan calon sebab abang kata tak ada sesiapa.  Hazel waktu tu baru 21 tahun. Sangat muda banding dengan usia abang. Abang setuju sebab abang fikir mungkin dapat lupakan Honey dengan cara kahwini dia. Tapi abang silap. Lepas Elaine lahir, Hazel mula tunjuk perangai. Abang dapat tau dia affair dengan bekas boyfriend dia. Abang tak larang pun dia, abang biarkan saja sebab…dalam hati abang hanya ada Honey…”
Aku pula yang nenarik nafas panjang. Begitu dalamkah rasa sayangnya padaku?
“Kemuncaknya dia tinggalkan kami. Suatu hari abang balik rumah dia dah tak ada. Semua barang-barang dia bawa. Elaine dia hantar pada mummy untuk dijaga. Masa tu umur Elaine baru enam bulan.  Mummy marah abang sebab tak bagi perhatian dan kasih sayang pada Hazel. Abang tak marah dia lari asalkan dia tak bawa Elaine sama. Hidup abang bertambah kacau. Hati abang bertambah tidak tenang. Waktu tu lah abang rapat dengan Ustaz Muhammad. Dia nampak abang macam orang tak betul. Kami banyak berbual, bertukar pendapat. Dia banyak bagi abang fakta suruh abang fikir, bagi abang buku untuk baca. Abang sendiri banyak tonton youtube dengar ceramah agama. Alhamdulillah dengan bantuan dia abang mengucap kalimah suci itu.”
Alhamdulillah…hatiku berbisik.
“Mummy dan daddy abang tidak membantah sebab nampak hidup abang jadi lebih teratur sejak abang kembali kepada fitrah. Abang masih tinggal di rumah keluarga. Suatu hari abang terjumpa dengan Amzar. Dari Am abang dapat tau semua pasal Honey. Abang sengaja memohon untuk jadi pentadbir di sekolah kita. Sampailah suatu hari abang dapat surat penempatan, abang pergi lapor diri di sana dan jumpa dengan orang yang pura-pura tak kenal abang. Abang rasa nak ketuk kepala dia biar ingatan dia pulih.”
Eh…kenapa dah lain macam cerita dia ni? Jeffry sudah tersenyum nakal. Oh…nak kenakan aku ye. Aku segera mengeringkan air mataku. Hilang terus feeling sedih.
End of story…Sekarang Honey kena jawab soalan abang. Kenapa Honey jual mahal dengan abang?”
“Eh…mestilah. Tak kanlah nak jual murah pulak.” Aku segera bangun meninggalkan Jeffry yang terkulat-kulat. Hah…nak kenakan aku sangat.
“Honey hutang dengan abang tau!” Dari jauh Jeffry melaung tanda tidak puas hati. Aku hanya ketawa.
Selepas minum petang kami berempat sekali lagi duduk ‘bermesyuarat’ untuk urusan penyatuan aku dan Jeffry. Kalau difikirkan agak lucu juga, sendiri mau kahwin sendiri kena urus. Kalau di kampung sudah semestinya semua urusan diserahkan kepada orang-orang tua.  
“Abang nak nikah paling lewat pun hujung bulan depan.”
“Abang!” Serentak kami bertiga menjerit.
What? Tak boleh ke?”
“Amboi abang ni, kot ye pun bawalah bersabar. Nak kena urus wali lagi ni, bang. Abang sulung Anim nak dimaklumkan. Kalau dia tak dapat datang kena urus surat wali sebagai tanda izin, mau booking imam nak nikahkan lagi.”
“Abang tak nak ke buat majlis? Nak nikah saja?”
Barulah Jeffry termenung memikir.
“Iye kan…nak booking hotel lagi. Sorry…abang kalau boleh nak nikah sekarang juga.”
Aduh…aku sudah geleng kepala. Boleh datang migraine kalau begini.
“Abang dah bazirkan masa begitu banyak, tak sanggup nak bertangguh lagi. Kan, Honey…? Elehh…nak gunakan aku pulak. Amzar dan Roslina sudah pegang perut menahan ketawa. Aku pula yang tersipu-sipu. Gelojoh juga bakal cik abang aku ni. Hisyy…
Wah, panjang juga senarai perkara yang perlu dibereskan. Tarikh sudah ditetapkan. Aku turut merasa bimbang dengan perancangan kami.  
Hari yang ditunggu akhirnya tiba. Kami dinikahkan di masjid daerah oleh juru nikah yang ditauliahkan oleh jabatan agama. Saksi dan pengiring dari kalangan rakan-rakan kami. Dengan sekali lafaz, aku sah menjadi isteri Jeffry. Sayu dan sebak saat Jeffry menyarungkan cincin untuk membatalkan air sembahyang. Aku sempat menitiskan air mata ketika mengucup tangannya. “Sayang, basah tangan abang ni.” Sempat lagi dia mengusikku. Agak lama dia melabuhkan bibirnya di dahiku sehingga menjadi usikan rakan-rakan kami.
“Abang, bawa bersabar. Tak kan lari ke mana isteri abang tu…”
Kami bergerak ke Hotel Melati untuk majlis makan bersama tetamu jemputan. Walaupun tidak seramai mana tetapi aku berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan majlis ini. Aku sangat bersyukur dengan kehadiran mummy dan daddy. Walaupun ada di kalangan auntie dan uncle Jeffry yang tidak hadir, aku tidak berkecil hati. Masih ada di antara mereka yang tidak dapat menerima Jeffry kembali kepada fitrah. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada mereka.
Majlis kami berakhir sebelum waktu solat asar. Semua tetamu sudah pulang termasuk Elaine yang mengikut Amzar dan Roslina. Kami menempah pakej bulan madu kononnya di hotel ini untuk satu malam. Walaupun Elaine berat hati untuk berpisah denganku, terpaksa kami memujuknya dengan berbagai ‘rasuah’ antaranya pergi ke taman tema hujung tahun nanti. Mana boleh kacau daddy dan mama!
Tetapi bila kufikirkan semula, menyesal pula biarkan Elaine mengikut Amzar dan Roslina. Aduhai…mana mau lari malam ni? Elaine, tolong mama…
“Sayang, jom…” Jeffry sudah mengangkat kening dengan senyuman yang kelihatan amat jahat di mataku. Oh…nak buli aku ye…

No comments:

Post a Comment