Thursday, 27 December 2018

Aku Ingin Bahagia 13


Tetamu telah mula memenuhi ruang tamu rumah kami. Biarpun hanya kecil-kecilan ramai juga rakan dan jiran tetangga yang memenuhi jemputan. Daddy kelihatan segak dengan memakai baju Melayu. Dia yang bersungguh ingin memakai seperti itu. Sempat juga diusik oleh cucu kesayangannya.
“Eh, aki handsome macam daddy aritu masa kahwin sama mama.” Elaine sudah berpusing-pusing membelek akinya. Boleh pula daddy tersipu-sipu malu bila jiran tetangga turut mendengar usikan Elaine. Semua yang memandang turut tersenyum. Sementara majlis berjalan daddy duduk di luar rumah berteman si Alex. Eh, awal juga Alex sampai seolah mahu solat hajat bersama.
Majlis dimulai dengan solat hajat diikuti oleh tahlil dan bacaan Yassin yang diketuai oleh Ustaz Muhammad. Insan yang sangat berjasa mendorong perubahanku sehingga menjadi diriku yang baru. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.
Selesai bacaan doa masing-masing dijamu dengan nasi kerabu buatan Roslina. Kelihatan di satu sudut isteri kesayanganku duduk diapit oleh Fanny, isteri Alex dan Shila, isteri Joe aka Japirin. Eh, dah kenapa pula Hanim terhinggut-hinggut bahu? Isy…kena buli ke apa bini aku ni? Aku segera menoleh ke arah kedua rakanku. Rupanya mereka sedang memandangku sambil tersenyum. Joe siap kenyit mata dan memuncungkan mulutnya ke arah isteri-isteri kami. Apa kes? Alex menggelengkan kepala sambil menghantar isyarat ‘biarkan saja, jangan masuk campur’.
Aku tidak sabar menanti tetamu pulang. Bukan niat menghalau tapi aku tidak sabar untuk melihat Hanim. Sepanjang majlis berjalan ketara benar senyuman diukir dengan payah. Apa juga yang mengganggu fikirannya? Jangan-jangan dia mendengar sesuatu yang tidak baik tentang diriku dari ‘isteri-isteri gangster’ tadi. Haissyy… Aku bimbang. Selesai menghantar tetamu terakhir dan menutup pagar aku segera menuju ke dapur. Hanim kelihatan agak letih. Tubuhnya menyandar di tepi sinki.
“Sudah-sudah la tu sayang. Kan abang dah suruh rehat tadi. Esok saja kita kemaskan semua ni.”
Kudakap tubuh kesayanganku ini sebelum dia rebah. Terasa benar dia lemah. Dia meletakkan kepalanya kedadaku. Esakan mula kedengaran. Lama kelamaan menjadi tangisan yang deras.
“Sayangggg, kenapa ni… Kita naik atas tidur, okey? Abang sikut sayang?”
Hanim langsung tidak mahu melepaskan pelukannya. Haila…banyak lagi airmata dia agaknya.
“Syyy…sayang bertenang okey, jangan menangis banyak sangat. Nanti mummy ingat abang buli sayang pulak.”
“Babang!”
“Daddy!”
Alamak, baru kata dah datang dua orang ‘inspektor’ ni. Habislah aku…
Elaine segera naik di atas kerusi dan menarik mamanya dari pelukanku. Demi melihat airmata Hanim dia segera melompat turun dan berlari ke ruang tamu. Kenapa pulak tu? Mummy pula mencerlungkan matanya.
“Apa babang buat Anim menangis? Babang marah dia?” Amboi mak, garangnya mummy.
“Mummy ni, teda la…Mana ada babang marah dia, babang sayang bah isteri babang ni…”
Elaine datang dengan tisu di tangan. Dia naik semula di kerusi lantas menyapu air mata Hanim. Bising mulutnya bertanya.
“Mama sakit? Daddy marah mama? Mama jangan nangis, kakak sayang mama…Daddy, kenapa mama nangis?”
“Err, mama sakit perut. Ha…mama sakit perut makan banyak sangat nasi kerabu makcik Ros.”
Mummy mencubit pinggangku. Aduh! Elaine bolehlah termakan dengan alasanku. Tapi mummy tahu sajalah, sayangkan menantu lebih dari anak sendiri.
“Jangan macam-macam babang. Bawa Anim naik rehat di atas.”
“Mama sakit perut? Baby sakit juga? Kesian baby kakak…Mama jangan sakit…” Mau ketawa juga aku dengan gaya Elaine. Tapi aku menahan tawa demi terpandang wajah mencerut mummy. Segera aku mencempung Hanim dan membawanya ke bilik atas. Dia tidak melepaskan pelukannya dengan tangisan yang tidak juga reda.
“Ab…abang, An.. Anim.. isk.. isk.. minta… minta maaf de.. dengan ab.. abang… isk.. isk.. An… Anim…banyak silap de… dengan…ab…abang. Anim buruk isk… isk…sangka de… dengan…ab… abang…”
“Sayang, kenapa ni? Sayang bertenang dulu, okey? Abang tak faham sayang cakap apa.”
Tangisan Hanim bertambah deras. Dia tetap ingin bersuara tetapi tenggelam dalam raungan pula. Ya Allah, apa dah jadi ni?
“An… Anim malu de… dengan ab… isk… isk…ma… maafkan Anim, ab…abang…”
“Sayang bertenang dulu, jangan cakap apa-apa ye.”
Keadaan Anim kelihatan semakin lemah. Dalam esakan dia tetap ingin bersuara dengan keadaan tercungap-cungap.
“Am…ampunkan An…isk...isk…Anim, bang. Anim takut…”
Akhirnya dia benar-benar jatuh dalam dakapanku. Aku segera meletakkan Hanim di atas katil lantas meluru ke bilik sebelah mencari mummy dan daddy.
“Daddy! Anim pengsan!”
“Hah?”
Daddy yang baru merebahkan tubuh bingkas bangun dari katil. Aku segera mencempung Anim dan membawa turun. Mummy turut kalut tetapi yang paling kelam kabut tentulah Elaine. Dia yang terlebih kuat meraung melihat mamanya terkulai tidak bermaya dalam kendonganku.
“Cepat sini kunci daddy bawa kereta. Kau di belakang jaga Anim. Mummy jaga kakak jangan himpit si mama.” Daddy sudah kedengaran seperti jenderal. Oh, jangan tak tahu beliau pesara tentera berpangkat sarjan. Dia membawa kereta dengan cekap dan laju. Hanim masih meracau tetapi nafasnya amat perlahan. Ya Allah, risaunya hatiku hanya Allah yang tahu.
Sampai saja di bahagian kecemasan terus kuterjah masuk tanpa memperdulikan panggilan cik misi di kaunter pendaftaran.
“Maaf, maaf, kecemasan ni dia sukar bernafas!”
Hanim kelihatan beransur pulih selepas mendapat bantuan pernafasan. Nampaknya dia harus bermalam di wad sehingga benar-benar stabil. Oleh kerana dia mengandung doktor tidak mahu mengambil sebarang risiko.
“Tekanan darahnya agak rendah dan masih perlu bergantung dengan alat bantu pernafasan. Esok saya akan buat pemeriksaan menyeluruh. Buat masa sekarang biarkan Puan Hanim berehat dulu.”
“Baiklah doktor, terima kasih.”
            Elaine pulang ke rumah dengan berat hati. Berpuluh kali dia mencium pipi mamanya diiringi pesanan penaja untuk daddy.
            “Daddy jaga mama, okey.”
            “Daddy jangan marah mama.”
            “Nanti kasi mama minum susu biar mama cepat baik.”
            “Kalau mama bangun cepat-cepat daddy call kakak, okey?”
            Aku mengangguk kepala setiap kali dia berpesan. Dah nak jadi burung belatuk rasanya…haha…
            Sementara menunggu Hanim aku sempat menghubungi Alex. Dalam masa 15 minit dia muncul dengan Fanny. Pecut ke apa? Fanny yang terlebih dahulu menghampiri kami. Dengan wajah yang agak bersalah dia menggenggam tangan Hanim. Ni mesti ada apa-apa ni…
            “Jeff, aku minta maaf bagi pihak bini aku ni. Entah apa yang dorang cakap sama si Hanim pun aku tak tau. Kau tanyalah dia.”
            “Jeff, sorry ahh…. tidak sangka Hanim lembut betul hati dia. Saya rasa bersalah ni…” keluh Fanny dengan wajah murung.
            “Tak apalah. Benda mau jadi. Lepas ni kamurang kena train si Hanim jadi brutal sikit.” Aku cuba berlawak untuk meredakan suasana.
            “Dear, you tunggu Hanim sekejap ahh. I nak cakap sama Jeff”. Aku turut merasakan nada bersalah pada Alex. Kami berdua bergerak ke kantin. Rupanya Joe aka Jupirin telah menunggu di sana. Seorang tanpa Shila.
            “Shila tidak dapat datang. Tiada orang jaga anak kami.”
            Terharu aku dengan sikap ambil tahu kedua rakan karibku. Mereka menceritakan kisah yang berlaku sehingga menyebabkan Hanim jadi begitu. Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda faham. Hmmm…alahai isteriku…
            “Shila cakap dia kasi tau si Hanim kalau berdosa dengan husband nanti susah mau bersalin. Hanim terus menangis. Banyak lagi la yang Shila cakap konon Hanim tidak bersyukur dapat husband baik macam kau. Mungkin dia terasa betul sebab sebelum ini dia tuduh kau macam-macam kan?”
            “Fanny pulak kasi tau kau ni ramai peminat. Silap-silap nanti kau tambah bini kalau dia buat perangai.”
            Aduhhai…apa la jenis gossip yang ‘bini-bini gangster’ ni cerita kat Hanim. Patutlah dia terus breakdown.
            “Nampaknya aku kena hantar Hanim ke ‘sekolah bini-biniku gangster” biar dia belajar tahan hati.” Kata-kataku disambut ketawa.
            Mereka beredar dari hospital sekitar jam 12 malam. Nampaknya malam ini aku terpaksa menjadikan kerusi malas sebagai katil. Sebenarnya tidak ada istilah terpaksa kalau ia berkaitan buah hatiku ini.
            “Abang, kalau abang letih baliklah rehat di rumah. Anim okey dah ni…” Hanim merenungku dengan pandangan sayu. Dia sudah boleh bercakap dan sekarang duduk bersandar di katil. Masih ada kesan rasa bersalah pada raut wajahnya meskipun berulangkali aku menyatakan kemaafan. Dia mencapai tanganku, menarik ke arah bibirnya dan mengucup perlahan dan lama.  
            “Betul sayang nak abang balik? Tinggalkan sayang sorang-sorang sini?”
            Hanim masih lagi memegang tanganku dan meramas jari-jariku seperti enggan dilepaskan. Eleh…mulut kata lain, hati kata lain. Tahu sudah jawapan hatinya.  Dia menggigit bibirnya seperti orang serba salah.
            “Honey, jangan buat macam tu. Abang geram!” Aku mendekati wajahnya dan berbisik perlahan. Serta merta wajahnya merah. Haha…sayangku tak pernah tak comel kalau tersipu.
            “Anim tak mau abang penat. Esok nak pergi office lagi kan…”
            “Mana ada penat. Abang kan hero sayang.” Aku mengenyit mata dan isteriku makin merah wajahnya. Timbul balik seri wajah yang sebelum ini suram. Alhamdulillah….
            “Dah lewat malam ni. Sayang tidur, okey? Rehat biar cukup. Abang tak akan tinggalkan sayang sendiri dan Honey janji dengan abang tau, jangan tinggalkan abang dan Elaine kecuali maut menjemput,” bisikku. 
            “Anim janji, abang. Maafkan Anim sebab…” Aku segera meletakkan jariku di bibirnya. Dengan perlahan aku menolak tubuhnya berbaring, menarik selimut menutupi dadanya. Tanpa memperdulikan orang ramai di katil bersebelahan, aku mengucup dahi isteriku, lama.
            “Kalau sayang cakap lagi abang cium sayang lama-lama. Biar semua orang tengok. Nak?”
            “Nak!” Secepat itu juga Hanim menarik selimut menutup mukanya. Oh, nakal ye…. 
            Keesokan harinya.
            “Encik jangan risau, dia sudah stabil sekarang. Cuma lelah saja. Tapi saya perlu scan perut untuk tau keadaan baby ye.” Lembut saja puan doktor memberi penerangan.
“Lelah? Dia tak pernah pun kena lelah sebelum ni?” Di sini kami memanggil lelah sebagai ‘ampus’. Hanim bukan pengidap lelah pun.
“Oh, memang kadang-kadang ibu mengandung akan mengalami penyakit yang tidak pernah dia hidapi sebelum ini. Contohnya seperti lelah, darah tinggi atau kencing manis. Tetapi selepas bersalin penyakit tersebut akan hilang.”
Sambil memberi penerangan tangan puan doktor dengan cermat melakukan scan ke atas perut isteriku. Elaine memerhati dengan penuh minat.   Sebelum itu puas mummy memujuk Elaine ke sekolah tetapi enggan. Dia berkeras mahu melawat dan menjaga mama kononnya.
“Alhamdulillah nampaknya babies sihat, degupan jantung normal. Ada pergerakan. Encik boleh lihat sini.”
Babies? Maksud doktor dua?” Aku mengangkat dua jari. Puan doktor tersenyum sedangkan aku, Hanim dan Elaine memandangnya dengan penuh kehairanan. Seolah baru tersedar, Elaine segera menjerit kegembiraan. Aku cuba menahan diri dari memeluk Hanim. 
“Kakak ada dua baby kan, mama? Dua kan?”
“Ya, kakak ada dua baby dalam perut mama.” Ujar puan doktor sambil dia mengucapkan tahniah kepada kami. Sesungguhnya aku tidak sabar untuk pulang dan melakukan sujud syukur. Hanim kelihatan sungguh terharu, bibirnya terkumat kamit membaca sesuatu. Elaine pula tidak lepas menggenggam tangan mamanya. Senyum usah katalah, sampai telinga!
Kami sampai di rumah lewat tengahari itu. Sebaik pintu kereta dibuka Elaine meluru masuk memanggil mummy dan aki. Ya Allah…tak pernah aku lihat Elaine sebegitu teruja.
“Mummy! Aki! Kakak ada dua baby! Kakak ada dua baby!”
Mummy dan aki telah dimaklumkan awal tapi tetap teruja walaupun tidak separah Elaine. Mummy memeluk Hanim dengan sangat erat dan lama.
“Mummynya, sudahlah tu. Kan Hanim penat mau berehat.” Perlahan daddy menegur mummy. Aku hanya mampu tersengih melihat telatah mereka. Keletihan menjaga Hanim semalaman dengan tidur yang tidak selesa sama sekali tidak terasa dek kegembiraan dan kesyukuran atas anugerah Allah ini.
Petangnya kami dikunjungi oleh Amzar sekeluarga. Sofea muncul dengan wajah yang sedikit murung. Bila aku angkat kening pada Amzar, dia hanya senyum. Nampak dia menahan tawa. Oh rupanya semalam Elaine telah menelefon rakan baiknya itu dan dengan bangga bercerita dia akan mendapat adik kembar.
“Yang paling tak tahan Elaine cakap daddy dia pandai buat adik twin. Terus Sofea suruh aku buat adik twin juga untuk dia. Aduh…tak reti aku nak jawab apa,” keluh Amzar. Kami semua ketawa mendengar cerita Amzar. Hai…budak-budak sekarang bergosip boleh tahan.


No comments:

Post a Comment