Friday, 26 October 2018

Aku Ingin Bahagia 8


“Abang! Kenapa?”
“Baby, kenapa gigit daddy? Aduh…sakitnya kaki daddy ni…”
“Daddy jahat gigit mama!” Daddy jahattt!” Elaine serta merta menarik mamanya dari pelukanku. Isteriku terpinga-pinga sebentar sebelum mukanya kemerahan menahan malu yang teramat. Serta merta dia melutut memeluk Elaine sambil pura-pura menangis di bahu anakku.
‘Ooo…pandai berlakun rupanya sayang ni…’
“Kesian mama…mama sakit? Daddy jahat kan, mama? Sini Baby sapu ubat. Mana mama sakit?” Elaine menggoyangkan jari telunjuknya kepadaku seperti aku selalu memarahinya. Sebelah tangan lagi mengusap bahu mamanya. Wah! Aku kena warning! Kalau sudah berkomplot kedua-dua kesayanganku ini teruklah aku. Aduh…macam mana ni?
Aku memberi isyarat ‘sayang tolong abang’ kepada Hanim. Elaine segera berlari ke bilikku mencari ubat. Sambil menutur ‘kesian mama’ berulang kali, dia menyapu bam pada kesan merah di leher mamanya. Gayanya merawat Hanim seolah mamanya cedera parah! Hanim membalas isyaratku ‘abang menangis’. Jadi aku pun sedaya upaya menitiskan air mataku. Alahai susah juga sebab hatiku rasa ingin ketawa berguling-guling. 
“Baby, tengok daddy pun sakit juga. Kesian daddy…daddy nangis tu.” Aku mengurut betisku. Perlahan Elaine mendekat dan mengangkat kaki seluarku sehingga nampak kesan gigitannya. Boleh tahan juga bekas dua gigi kacip depan Elaine. Memang berbisa seperti cubitan Hanim.
Elaine nampak bersalah tapi tak mahu mengalah! “Say sorry to mama.”
Layan sajalah. “Mama, daddy sorry, okey…” Aku capai tangan Hanim lantas mengucupnya. Elaine berdiri menolak pinggang memandang kami dengan wajah yang sungguh puas hati kerana berjaya ‘mendamaikan’ kami berdua. Setelah itu baru dia menyapu bam pada kesan gigitannya.
“Don’t do it again. Understand, daddy?” Elaine menggunakan balik kata-kata amaranku padanya jika dia berbuat salah.
“Yes, Baby, daddy understand.” Isteriku simpan senyum. Hehe…daddy tak janji la…
Now go to your room and think what you have done.” Alamak! Aku rasa macam kena marah oleh mummy pada zaman remajaku.
Aku bangun dengan perlahan sambil menarik tangan Hanim.
“Eh daddy tidak boleh bawa mama. Daddy saja pergi bilik sana. Mama stay sini sama Baby.” Nah, keluar lagi arahan dari ‘little mummy’. Aku terkebil-kebil memandang Elaine minta dikasihani.
“Daddy takut pergi bilik sorang-sorang…” Eleh…mengada betul daddy ni. Hanim mencebik bibir ke arahku.
“Ha! Buat mulut macam tu kat abang. Nak dosa free?” Hanim menutup mulut sambil ketawa kecil.
Don’t make that puppy eyes, daddy. Go to your room now. Mama, mari kita pergi masak. Biar daddy sorang-sorang di bilik.” Elaine menarik tangan mamanya menuju dapur. Hanim apalagi, lebar senyumannya sambil mengenyit mata padaku.
Aku mengintai dari balik pintu dapur. Elaine berdiri di atas kerusi di depan sinki. Asyik benar dia memerhati mamanya sambil mulutnya bertanya itu ini.
“Mama buat apa?”
“Ini sayur kacang panjang. Mama cuci biar bersih. Baby mau tolong?”
“Mau!” Dengan penuh bersemangat dia mencuci sayur. Tapi yang aku nampak macam dia mencuci dirinya sendiri. Habis basah lantai. Hanim memerhati dengan penuh sabar.
“Okey, Baby potong pendek-pendek macam ni.” Tekun benar dia memerhati sampai tak berkelip mata. Inilah kali pertama dia memegang pisau. Seronok! Maklumlah kali pertama diberi kepercayaan membantu di dapur. Kalau sebelum ini di rumah mummy, Elaine dilarang sama sekali memasuki dapur.
Hati dipagut rasa terharu. Akhirnya Elaine dapat merasai kasih sayang seorang ibu. Selama ini hanya neneklah wanita yang membelainya setiap hari. Kesian Elaine…Memang aku tidak salah memilih Hanim sebagai isteriku. Aku sangat yakin dia menyayangi Elaine seikhlasnya. Aku teringat Hanim membelai dan mencium Elaine di pejabatku tempoh hari. Itu bukan lakonan, aku amat pasti. Mengapa Hazel tidak dapat memberikan kasih kepada Elaine, darah dagingnya sendiri? Mungkinkah berpunca dari diriku yang tidak memberi perhatian dan kasih sayang pada Hazel? Tapi perasaan bukan boleh dipaksa… Dari dulu hanya Hanim yang memenuhi ruang hatiku.
Penat berdiri aku berlalu ke bilikku dengan perasaan berbaur. Entah bila aku terlelap sehingga terasa pipiku basah.
“Eh, Baby…” Elaine mengucup kedua belah pipiku.
“Daddy, Baby sorry, okey…tadi Baby marah daddy…Baby saaaaayang daddy tau…” Aku tersenyum memandang puteriku. Kudakap rapat kedada.
“Daddy pun saaaaayang Baby.”
“Mama?”
“Daddy pun saaaayang mama.”
Promise jangan gigit mama lagi.” Tawaku meledak. Hai la anakku…Sayang sungguh dengan mama.
“Okey…daddy janji.” Terpaksalah aku membuat janji palsu di depan Elaine!
“Mama panggil makan. Lunch ready! Baby tau yang masak.
“Wah! Pandai anak daddy masak. Baby masak apa?”
Hanim sudah menunggu di meja makan. Tersenyum lebar memerhatikan kami berdua. Aku menghampiri Hanim, mencium pipinya.
Thanks sayang…” bisikku. Elaine memandang kami seolah berjaga-jaga. Nampak wajahnya lega kerana aku hanya mencium tidak ‘menggigit’ mamanya.
“Baby masak sup ayam untuk daddy.” Bangga sungguh Elaine. Hanim senyum mengiakan.
Selesai makan dan solat zohor kami berehat di ruang tamu. Akibat keletihan memasak kononnya Elaine tertidur.
“Betul ke Baby yang masak sup tadi?
“Betul la. Dia tak lepas pegang senduk mengacau sup dari mula sampai sup mendidih.” Hanim ketawa perlahan. Iyalah, bukan susah, hanya masukkan perencah sup, ayam dan perasakan.
Aku menarik isteriku rapat ke dada.
“Abang tak tau nak cakap terima kasih macam mana kat sayang. Tengok Baby happy sangat buatkan abang rasa terharu. Sekarang dia dah banyak cakap tak pendiam macam dulu. Muka dia ceria memanjang. Sayang dah buat apa kat dia, hmmm…?”
“Entahlah, bersyukur sangat dia sayangkan Anim. Hairan juga begitu cepat Baby boleh terima Anim jadi mama dia. Macam dia dah kenal Anim lama.” Aku renung wajah isteriku lama sambil tersenyum.
“Abang nak bagitau satu rahsia.” Aku mencapai wallet dan membukanya.
“Ya Allah…abang simpan lagi gambar ni?” Hanim nampak sangat terperanjat. Itu gambar kami berdua sewaktu berkelah di air terjun Mahua. Sebenarnya itu gambar beramai-ramai tapi sengaja aku potong gambar tersebut. Waktu itu Amzar dan Roslina yang baru saja berkahwin ada bersama, bahkan Masri juga turut berkelah bersama kami dengan beberapa rakan yang lain.
“Sejak kecil Baby selalu buka wallet abang. Dia akan belek gambar ni. Abang selalu bagitau dia ini mama Baby.” Hanim memandang wajahku penuh kehairanan. Aku tahu mesti banyak tanda tanya dalam fikirannya. Pandangannya bertukar menjadi sayu, air mata mula mengalir membasahi pipi. Hanim menyembabkan wajahnya ke dadaku. Bergegar tubuhnya menahan esakan. Akhirnya esakan perlahan bertukar menjadi sedu sedan.
“Sayangggg…kenapa ni? Abang buat Honey marah? I am sorry, okey…?” Aku mula panik dengan tangisannya yang semakin deras. Tak berhenti jariku menyapu air matanya sambil sebelah tangan mendakap dan mengusap bahunya.
“Ap..apa lagi ab... abang sem.. sembunyi dari saya?” Alamak, dah keluar ‘saya’ pulak. Ini bukan petanda yang baik.
“Honey sayang…jangan cakap ‘saya’ dengan abang tapi cakap ‘sayang’. Now, ulang balik sayang tanya apa?”
“Eeee…abang ni. Orang sedih dia nak main-main pulak…” Awww…menangis pun sempat mencubit.
“Shh…perlahan sikit suara sayang. Nanti Baby terjaga...”
“Mama?” Kan kata dah… Elaine bingkas bangun sambil menggosok mata. Kelam kabut dia mengambil tisu mengelap air mata Hanim.
“Mama kenapa? Daddy jahat lagi? Mama sini.” Dia menarik tubuh mamanya dan merebahkan ke paha kecilnya. Laju jemari halusnya mengusap pipi dan menepuk bahu Hanim. Hanim semakin meraung dengan layanan Elaine. Ah, sudah…
“Mama don’t cry, Baby sayang mama…”
“Honey sayang …sudah la tu, abang minta maaf…”
“Baby, daddy buat mama sedih…Mama sayang Baby…mama sayang Baby…” Dalam esak tangis sempat lagi mengadu kat anak. Haisyy…mesti lepas ni kena marah lagi. Hanim duduk lantas meraih Elaine dalam pangkuannya. Didakap puteriku erat sambil mencium seluruh wajahnya. Elaine membalas pelukan mamanya dengan wajah kehairanan. Dah kenapa agaknya mama ni? Aku pun turut sama mendakap kedua insan kesayanganku. Hai…cengeng betul la sorang ni…
Selepas tangisannya reda Hanim mengungkapkan semula soalannya, kali ini nada yang jelas.
“Apa lagi yang abang sembunyikan dari Anim? Sejak bila abang simpan gambar kita? Macam mana abang yakin sangat kita akan kahwin?”
“Baby sini duduk riba daddy. Kesian mama, Baby kan berat?”
“Abang sengaja ye nak tukar topik?”
“Pandai la Baby pujuk mama. Tengok, mama dah berhenti menangis. Baby sudah pandai tolong mama masak, pandai jaga mama sakit… Wah, anak daddy dah besar la, tak boleh panggil baby lagi. Nak kena panggil kakak ni.” Elaine memandangku dengan wajah teruja. Dia menuding jari ke arah dadanya.
“Kakak? Baby sudah jadi kakak?” Dia segera melompat turun dari ribaan Hanim. Disentuh perut Hanim yang masih leper. Tidak berpuas hati, diselak baju Hanim ke atas mendedahkan perut mamanya yang putih lantas diciumnya. Hanim menggeliat kegelian dan menahan tawa. Aku terpegun. Amboi, daddy baru sentuh mama sekali, sudah ada isi? Err…pembetulan, dua kali.
“Belum lagi sayang…nanti-nanti ye daddy buat baby kecil dengan mama…” Aww...apa lagi kalau tidak sepit ketam berjalan.
“Kakak mau baby kecil macam Sofea. Dia ada adik baby dalam perut mama dia. Kakak pun mau. Boleh kan mama?” Dan-dan itu Elaine membahasakan dirinya kakak. Digoncang-goncang tangan mamanya. Hanim sudah tersipu-sipu malu. Eleh…dengan anak pun nak malu.
“Abang tak tau pun Ros pregnant lagi? Wah…abang jealous sangat ni. Kita nak baby kecil cepat-cepat, kan kakak?” Elaine mengangguk laju. Yes…pancingku mengena.
“Kalau macam tu mama kena tidur sama daddy, kan?” Elaine mengangguk lagi.
“Ya, macam mama Sofea tidur sama papa dia terus ada baby kecil dalam perut mama dia.” Kami hampir serentak ketawa dengan gaya Elaine yang bersungguh-sungguh bercerita. Muka Hanim sudah memerah dan jemarinya segera mencari sasaran. Awww…
“Dengar tu sayang, kakak nak adik baby cepat-cepat tau.” Semakin merah muka isteriku, comel…
“Err...mama nak buat minum petang. Sini kakak, tolong mama…” Eleh…nak lari la tu. Tawaku meletus. Kusambar tangan Hanim dan Elaine serentak kutarik keduanya dalam pelukanku. Hmm…bahagianya mendakap dua insan yang amat kusayangi…

Friday, 19 October 2018

Aku Ingin Bahagia 7


“Sapa suruh abang gatal. Cakaplah hutang apa?”
“Abang gatal dengan sayang saja tau… Tak ingat hutang apa?” Dia menggeleng kepala.
“Masa kat rumah Am, abang ada tanya kenapa sayang jual mahal dengan abang? Sayang belum jawab.”
“Ooo…pasal tu ye…” Hanim membuka telekungnya kemudian kembali merebahkan tubuhnya di atas lenganku. Jemarinya melukis-lukis di atas dadaku.
“Sayang goda abang ke?”
“Mana ada la…Orang nak jawab soalan abang la ni.”
“Orang? Orang mana?”
“Abanggg…”
“Kalau sayang asyik merengek, goda abang macam ni lain kali la jawab soalan abang tu. Abang geramlah, sayang…jom.”
“Jom pergi mana?”
“Alahai…sayang abang ni…innocent sangat. Lagilah abang geram. Jom la…”
“Abang…Anim nak cerita ni...”
Aduhai…cair aku dengan isteri kesayangaku ni…
“Okey, cepat cerita sebelum abang…”
“Macam ni…abang ada sebut nama Masri dan Nazlan saja tapi ada seorang lagi yang abang tak kenal. Dia ada approach Anim kata nak berkenalan. Okeylah kalau nak kenal apa salahnya. Anim macam dah suka la kat dia. Nampak macam baik orangnya. Am pun macam setuju kalau dia jadi calon husband Anim.”
“Kenapa sayang kata dia baik?”
“Sebab dia ada janggut sejemput kat dagu, janggut kambing...hehe...”
“Sayangggg…ada pulak menilai orang guna janggut. Teruk la sayang ni…” Aku mencucuk pinggangnya membuatkan Hanim menjerit. “Okey, sambung cerita sayang.”
“Dia cakap nak pergi jumpa abang sulung Anim kat kampung nak meminang baik-baik kata dia. Tiba-tiba kan bang, ada orang hantar massage layang kat Anim kata dia tu suami orang. Isteri dia kat kampung di Kelantan dengan dua anak.”
Massage layang? Apa tu?”
“Iyelah, Anim tak kenal siapa yang hantar massage tu. Anim terus bersemuka dengan lelaki tu, tanya betul ke dia suami orang? Abang tau dia cakap apa? Dia mengaku bukan lelaki bujang. Dia tak bermaksud sembunyikan status dia cuma Anim yang tak tanya. Jadi salah Anim la. Punyalah Anim geram, sikit lagi Anim nak terajang dia tau.”
“Wah…garangnya isteri abang ni. Mujur abang tak kena terajang masa mula-mula kita jumpa hari tu. Jadi Anim jual mahal sebab ingat abang masih ada isteri?” Dia mengangguk.
“Anim tak mau jadi perampas kebahagiaan perempuan lain, bang. Kalau Anim buat kat orang nanti Allah balas balik.” Kukucup dahi isteriku dengan penuh kasih.
“Sayang…Honey tak salah apa pun. Hazel yang tinggalkan abang dulu.”
“Kenapa Hazel setuju kahwin dengan abang padahal dia dah ada boyfriend?”
Parents dia yang paksa sebab boyfriend dia tu jobless. Dia orang tak restu kalau Hazel kahwin dengan lelaki tu.”
“Abang tak sayangkan Hazel tapi abang buat dia pregnant?”
“Sayang, boleh tak jangan tanya lagi? Okey sesi soal jawab dah tamat. Abang lapar…”
Hanim masih melukis-lukis dadaku dengan jemarinya. Aku hanya mampu mengeluh. Nampak sedikit sisi degil isteriku.
“Sayang, there is something about man’s desire that only man can understand.”
“Abang, I want to live with you for the rest of my life. Make me understand then. Anim ada pilihan lain tak selain dari wajib patuh pada abang, setia dengan abang? Tak ada kan? Tapi abang ada tiga lagi pilihan kalau abang…” Aku segera menutup mulutnya.
“Sayang cakap apa ni?” Dengan perlahan Hanim mengangkat tubuhnya dari pembaringan.
“Abang, Anim nak abang janji.” Dia mencapai tangan kananku lantas melekapkan telapaknya ke dadanya serentak meletakkan telapak tangan kanannya ke dadaku.
“Abang ikut tau apa Anim sebut.”
“Ooo...okey…”
“Bahawa saya, Jeffry bin Abdullah dengan ini berjanji akan…
 Bahawa saya, Jeffry bin Abdullah dengan ini berjanji akan…
Sentiasa menyayangi, melindungi isteri saya Hanim binti Latif dengan sepenuh hati…
Sentiasa menyayangi, melindungi isteri saya Hanim binti Latif dengan sepenuh hati…
Jika suatu hari saya gagal berbuat demikian, saya akan melepaskannya…
Sayang, what are you saying?” Hanim tidak menghiraukan pertanyaanku sebaliknya meneruskan bacaan ‘ikrar’nya.
“Dengan baik sebagaimana saya mengambilnya dahulu”
Aku segera menarik tubuhnya dalam dakapanku sambil bibirku beristighfar berkali-kali.
“Ya Allah…Honey cakap apa ni sayang…” Kukucup pipinya yang sudah basah dengan air mata. Terasa jemarinya menggenggam dadaku. Sakit dadaku bukan kerana dicengkam tetapi melihat air matanya yang tidak berhenti mengalir.
“Shh…shh…please stop crying sayang…” Aku menolak dagunya agar mata kami bertentangan. Kukucup pula kedua belah matanya.
“Abang janji, kali ini saja sayang menangis sebab abang. Abang tak akan biarkan air mata sayang mengalir sebab sedih atau kecewa dengan abang, okey?” Dia mengangguk. Kuseka air matanya.
“Dah, berhenti menangis sekarang.”
“Abang, tak boleh berhenti, dia nak keluar juga. Abang marahlah air mata ni…” Aduhai la isteriku, masa begini sempat juga buat lawak.
“Degil ye air mata sayang ni. Jap abang babab dia.” Akhirnya tercetus juga tawa dari bibir mungil isteriku. Hai...lega rasanya. 
Aku mengangkat tubuhnya dan membaringkan dengan perlahan di atas tilam. Kutepuk-tepuk belakang badannya seperti mendodoi anak kecil.
“Abang, Anim dah okey.” Aku terus juga menepuk tubuhnya.
“Shh...diam-diam abang nak peluk.” Aku cuba membayangkan jika ada kemungkinan aku akan berlaku curang terhadapnya. Isyy…kau gila ke apa? Ya Allah, aku sungguh sayangkan isteriku ini. Kau bahagiakanlah kami, restuilah kehidupan kami di dunia dan akhirat. Amin Ya Allah… Membayangkan saja sudah rasa berdosa, apatah lagi jika benar aku tergamak melakukannya. Kau sanggup kehilangannya lagi? Tanpa sedar air mata jantanku mengalir. 
“Abang, Anim minta maaf, abang jangan la…” Kalut dia mengesat air mataku. “Anim minta ampun, bang…abang tolong jangan menangis…” Aku membenamkan mukaku di lehernya. Malu juga dia nampak aku menangis. Biar kali ini dia yang pujuk, hehe… Tapi sudahnya dia yang menangis sama, bahkan lebih kuat dari tadi hingga terhinggut-hinggut tubuhnya. Pulak dah…
“Sayangggg…abang punya turn la sekarang. Asyik sayang je nak minta pujuk, tak adil la…”
“Abangggg…” Awww…! Kena cubit lagi. Dia ni kalau nak mencubit memang tak kira cuaca; panas ke, hujan ke. Nasib kau la Jeff dapat isteri zodiac ketam.
“Shh…dah…dah…abang tak apa-apa. Jom kita sama-sama berhenti menangis. Satu. Dua. Tiga!”
Haha…ada pulak macam tu. Tapi trick berhasil nampaknya. Hanim terus ketawa dengan pipi yang masih basah.
“Sayang, abang lapar.”
“Sorry, abang…Anim buatkan abang lapar. Jom kita cari breakfast.”
“Tapi abang nak makan sayang…”
“Isyyy abang ni…tak malu betul.”   
“Kutuk abang ye...jaga la sayang…”
Cubaan Hanim ingin bangun dan menjauhkan dirinya tidak berhasil. Pantas kutahan tubuhnya dan kukunci pergerakannya.
“Nak lari sangat. Hah larilah.”
Hanim hanya memandang wajahku dengan senyuman manis. Tiba-tiba dia memaut leherku dan membenamkan bibirnya kebibirku. Wah, beraninya isteriku…hmm…i like
“Anim tak akan lari dari abang. Anim akan sentiasa melekat dengan abang sampai abang bosan. Abang pun tak akan dapat lari dari Anim sebab Anim akan ikat abang ketat-ketat macam ni.”
 Aku lantas membalas pelukannya.
            “Tadi siapa yang cakap abang tak malu. Ooo…rupanya dia lagi tak malu dari abang. Jom sayang?”
“Jom apa?” Aku menarik manja hidung isteriku.
“Jangan buang masa. Kita dah bazirkan banyak tahun… jom kasi adik untuk Elaine.”
Jika kutahu indahnya penyatuan ini nescaya aku tidak akan lelah mengejar cintanya…
Kami pulang ke rumah pada waktu tengahari. Aku membawa Hanim ke rumahku sendiri tidak jauh berselang dari rumah kedua orang tuaku. Sebelum itu kami singgah di rumah Amzar untuk mengambil Elaine. Memang tak sah kalau tidak diusik oleh pasangan tersebut.
“Ingatkan daddy dah lupa kat Elaine, maklum la dah dapat mama…” Usikan pertama dari Roslina yang memerahkan wajah isteriku. Aku buat muka tak malu.
“Kalau abang nak tinggalkan Elaine terus pun tak apa…” dari Amzar pula.
“Amboi korang berdua, macam tak pernah rasa mood honeymoon.”. Elaine seperti biasa menerkam dan memeluk mamanya dahulu. Isyy…siapa sebenarnya real parent Elaine ni? Aku pula yang keliru.
“Anak mama okey? Mama rindu Baby.” Hanim memeluk dan mencium Elaine seolah berbulan terpisah. Eleh…satu malam je kot. Dengar dia sebut apa? Anak mama. Macam la Elaine bukan anak daddy. Rasa nak merajuk pun ada.
Setelah mengucapkan terima kasih kepada Amzar dan Roslina kami segera beredar. Elaine melompat keriangan tanpa melepaskan tangan mamanya. Seronok sungguh dia masuk ke rumah baru. Kemudian diheret pula Hanim ke biliknya yang cantik dihias serba merah jambu.
“Mama, cantik tak bilik Baby? Malam nanti mama tidur dengan Baby, ya?” Hanim ketawa mendengar permintaan Elaine sambil memandang kepadaku.  Aku membulatkan mata tanda protes. Ini tak boleh jadi! Sudahlah dari tadi asyik Elaine saja pegang mama. Haisyyy…
“Baby pergi mandi dulu, okey. Mama nak masak tu. Kita semua lapar kan?”  Mujur Elaine mendengar kata. Aku segera menarik Hanim ke dapur dan serta merta memeluknya.
“Abang rindu…”
“Isyy…abang ni, dengan anak pun nak cemburu,”
“Rindu...”
“Cemburu…”
“Sungguh…abang rindu…”
“Cem...” Tercungap-cungap Hanim mencari nafas. “Abanggg…nanti Baby nampak…”
Sorry sayang, abang tak tahan…Malam ni janji tau, sayang mesti tidur dengan abang.” Aci tak buat perjanjian dengan isteri kesayanganku?
“Ya Allah…abang ni kan…” Aduh…tak memasal kena cubit. Aku kembali mendiamkan bibir comelnya. Tiba-tiba…Awwwww!!!
“Abang! Kenapa?”

Wednesday, 17 October 2018

Learn to Control your Temper!



At this age I still love to watch fairy tail stories. This one is my fav. And this part is the most fav one.
At this age also I still have problem with my temper and it seems getting worst. Oh my....

Aku Ingin Bahagia 6


“Abang, tak laratlah…nak sikut…” Aku teringat dulu dia mengugut mau ‘menyikutku’. Nak sikut sangat, silakan!
Sure darling…” Jeffry dengan gagah terus mencempungku di hadapan pekerja-pekerja hotel. Mereka serentak bersorak dan bertepuk tangan. Seorang dari mereka berlari-lari menekan butang lif. Sampai saja di depan pintu bilik kami, seorang pekerja lagi membantu membuka pintu. Wah! Aku rasa seperti seorang puteri raja.
Aku masih lagi berada dalam pegangannya.
“Abang, lepas la…” Renungannya yang redup membuat bulu romaku berdiri.
Nooo…abang nak uruskan baby besar ni.” Perlahan-lahan dia meletakku di atas katil. Matanya masih tidak lepas memandangku tetapi jemarinya cekap bergerak mencabut pin selendangku satu-satu sehingga rambutku terdedah untuk pandangannya.
“Maha suci Allah…cantiknya sayang…” Dia menguraikan rambutku dan menghirup bau rambutku dalam-dalam. Dadaku rasa ingin meletup dengan debaran.
“Abang, Anim nak mandi…”
“Abang mandikan sayang…” laju dia membalas.
“Aaaa….” Aku terlompat menjauhkan diri dari suamiku dan terus berlari ke bilik air. Kedengaran tawanya yang deras.
Lama aku membersihkan diri sambil menunggu debaran surut. Alamak…terlupa ambil tuala. Aku membuka sedikit pintu bilik mandi sekadar cukup menjengukkan kepalaku keluar. Sekali lagi aku menjerit. Rupanya dia sudah berdiri betul-betul di depan pintu sambil memegang tuala.
“Abang ingat ada orang tu nak tidur dalam toilet. Lama betul sayang di dalam tu. Cepat sayang…kita ni belum solat asar lagi.”
“Sorry, abang…sakit perut.”
“Ha…bohong la kat abang, nak cari dosa free.
Erkk… kan dah kena…Jeffry menghulurkan sehelai tuala kepadaku. Sehelai saja?
“Cepatlah keluar, abang pun nak mandi.” Jeffry berkata sambil tersenyum nakal. “Kalau sayang tak keluar biar abang masuk.”
“Okey…okey…abang pusing belakang, tutup mata.” Dengan segera aku berlari keluar dan terus masuk ke dalam selimut. Kedengaran suamiku tertawa sambil melangkah ke bilik mandi. Aku terus mendirikan solat asar tanpa menunggu Jeffry.
Aku menghulurkan kain pelikat dan kemeja-T sebaik dia melangkah keluar dari bilik mandi dengan sehelai tuala membalut tubuhnya.  Hmm...boleh tahan seksi suamiku.
“Kenapa muka tu merah?” Hisyy...sempat lagi nak usik orang.
“Abang solatlah cepat.”
Usai solat dia melambai ke arahku dan mengisyaratkan duduk di sisinya. Dia menadah tangan berdoa. Oh…dia mau aku turut mengaminkan doanya. Lama dan syahdu…tak jelas kedengaran isi permintaan suamiku kehadrat Allah tetapi kuaminkan saja, tentunya dia berdoa sesuatu yang baik. Dia berpaling, menghulurkan tangan untuk kusambut dan kukucup.
“Nanti maghrib dan isya’ kita solat sama-sama ya…” Lama juga bibirnya berlabuh di dahiku. “Hmm…tadi tak puas cium sayang. Semua orang tengok.” Dari dahi bibirnya meleret pula ke hidung, pipi dan akhirnya…
“Abang….” Pergerakannya terhenti. Mukaku sudah bertukar merah.
“Sayang comel sangat kalau blushing. Kenapa? Dah halal kan?”
“Err…kita nak tidur sini ke malam ni?”
“Ye la, kenapa? Sayang tak suka?” Debaranku kian menderu selari jemarinya yang mula menjalar di sana sini.
“Hmm…kesian Elaine, dia kan tak biasa tidur sorang-sorang?”
“Kesian Elaine atau takut abang? Hmmm…?”
“Abanggg…abanggg…” Aku cuba menghentikan pergerakan tangannya yang melata seolah tentekel sotong. “Malu la dengan matahari…masih terang benderang di luar tu.”
“Oh…okey…abang akan bersabar sampai matahari terbenam.” Suamiku melebarkan senyumannya yang tidak manis pada pandanganku tetapi menyeramkan!
Kami menghabiskan masa petang dengan duduk berbual sambil menikmati pemandangan yang tak berapa indah dari jendela bilik penginapan kami. Alah…bandar kecil ini apa sangatlah yang ada. Tunggulah nanti jika berkesempatan berbulan madu di…
“Sayang nak honeymoon di mana?” Macam tau-tau je cik abang saya ni…hihi…Nak jawab apa ye?
‘Di mana saja asalkan bersama abang…’ Amboi…klise tak tahan…
‘Tak payah lah, abang…dah selesai semua pun Anim bersyukur.’ Jawapan isteri solehah.
‘Anim nak pergi seluruh Eropah boleh tak?’ Ha…tu jawapan nak minta penyepak!
“Sayang…? Abang baru tanya, sayang dah sampai ke mana?” Tersentak tika Jeffry mencuit daguku.
“Kan kita dah janji nak bawa Elaine ke taman tema?”
“Ala…tu bukan honeymoon kalau bawa Elaine. Kita berdua saja la…” Jeffry mula menarik bahuku rapat.
Alamak…mood miang daddy datang balik ni, Elaine…tolong mama…
“Aa…abang, Anim lupa bawa berus gigi, nak turun pergi kedai boleh tak?”
“Sayang pandai kan? Sekejap matahari, sekejap berus gigi. Tak apa… tunggu la malam nanti.” Itu mengugut ke apa? Hisyy…
Sudahnya petang itu kami berlegar-legar di bandar kecil ini sekadar mencari barang keperluan peribadiku. Kalaulah dia tahu aku sengaja sorokkan barang-barangku, masak aku ‘dikerjakan’. Agak segan juga bila dia sentiasa menggenggam tanganku semasa kami berjalan-jalan. Hampir semua orang yang kami temui akan menegur. Maklumlah, siapa yang tak kenal dengan Encik Jeffry, seorang pengetua cemerlang.
“Kita dinner di hotel saja ya? Abang malas nak keluar lagi.” Malas ke tak sabar? Ikut sajalah Hanim, suami kau tu…
“Okey, abang…”
Kami makan malam secara santai di hotel. Sambil makan sambil usik mengusik. Tetapi aku saja yang kena usik, dia tukang mengusik. Tak penat ke dia ni? Usai makan kami kembali ke bilik dengan perasaan yang berbeza. Dia kelihatan sangat ceria dan teruja. Aku? Cemas, berdebar, seram sejuk dan semua perasaan yang sewaktu dengannya! 
“Sayang nak minta dukung macam petang tadi tak?” Memang dia tak pernah penat nampaknya.
“Isyy…abang ni…” Seronok dia ketawakan aku. Rupanya dia seorang yang kuat mengusik dan nakal. Itu satu sifatnya yang baru aku tau. Dua, dia juga seorang yang tidak sabar!
Sampai di bilik saja, Jeffry terus mendakapku dari belakang.
“Sayang, matahari dah lama terbenam, barang-barang sayang semua dah ada…hmm…”
“Abang belum call Baby kan?” Aku cuba mengalihkan perhatiannya. Tolonglah walau sekejap…
“Hmm…” Jeffry tidak menjawab, sebaliknya…
***
Aku tidak menjawab, sebaliknya makin mengeratkan dakapan ke tubuh isteriku. Bukan aku tidak tahu Hanim sengaja mencari alasan sejak petang tadi.
“Don’t worry about her, sayang…she will be okey with them. Just pay attention to me, please…” Aku dapat merasakan kegusaran Hanim. Atau mungkin ketakutan? Tapi aku memang gagal membendung keinginan terhadap isteriku ini.  Telah terlalu lama aku merinduinya, menanti saat kami bersatu.
Aku mengalihkan tubuhnya mengadapku, kuangkat sedikit dagunya sehingga mata kami bertentangan. “Sayang, izinkan abang…?” Dapat kurasakan getaran tubuhnya. Begitu takutkah wahai isteriku…?
“Sayang dah sedia jadi isteri abang sepenuhnya?” Dia mengangguk perlahan. “Sayang takut?” Isteriku menjawab dengan membenamkan wajahnya ke dadaku. Aisyy…ini bukan main-main punya takut. Aku memimpinnya perlahan ke arah katil peraduan kami.
“Abang, tutup lampu…”
“Abang, baca doa…”
“Shh…let me, please…”
Maka kami pun hanyut dalam kedinginan malam yang kurasakan hangat…
Aku memandangnya yang sedang lena diulit mimpi indah dengan rasa penuh bersyukur.
‘Ya Allah, Kau restuilah rasa bahagia ini sehingga hujung nyawa kami…’
“Sayang, bangun sayang. Dah hampir subuh ni.” Aku kucup dahinya dengan penuh kasih, kusebak rambut yang menutup sedikit wajahnya. Tenang sungguh lenanya berbantalkan lenganku.
“Amboi, lenanya sayang abang ni. Bangun, Honey…” Kuhembus perlahan di telinganya. Hanim mula menggeliat dan menggosok mata. Ooo...tahu sudah bagaimana untuk membangunkan buah hatiku ini.
Tiba-tiba Hanim bingkas duduk sambil menjerit. Bulat matanya memandangku sambil menutup mulut.
“Sayang, kenapa ni?” Aku cuba mencapai tubuhnya tetapi dia mengelak. “Honey…tu…” Aku menunjukkan ke arah bahagian atas tubuhnya yang terdedah. Sekali lagi dia menjerit, lebih kuat dari yang pertama kali dan serta merta menyusup kembali ke dalam selimut. Aku cuba sedaya upaya menahan tawa. Isteriku makin cuba menjauhkan diri dengan tubuhnya bergetar. Apa kes? Malam tadi bukan main mesranya…
“Sayangggg…Honeyyyy…sini dekat abang. Sayang lupa siapa ni yang tidur dengan sayang?” Hilang ingatan ke apa? Hanim berhenti mengelak jadi dengan mudah aku berjaya merangkulnya kembali.
“Kenapa takut dengan abang? Kan malam tadi sayang bukan main lagi berani gigit abang sana sini. Sakit tau…”
“Abangggg…jangan cakap. Abang jahat tau…tak mau kawan abang.” Tawaku meletus tanpa dapat ditahan lagi. Alahai...isteriku...
“Dah...dah…keluarlah dari selimut ni. Kan panas.”
“Abang janji dulu jangan cakap macam tadi.”
“Cakap apa?” Seronok rupanya menyakat isteri.
“Abangggg…”
“Okey…okey...abang janji tak akan cakap sayang gigit abang.”
“Abanggg….” Kali ini rengekannya beserta dengan cubitan. Aduh...lebih baik kena gigit kalau begini.
Dengan tawa yang masih bersisa kubuka selimut yang menutupi wajah ayu isteriku.
“Sayang comel sangat kalau merajuk. Pergi cepat mandi. Kalau tidak…” Aku acah-acah menghampirkan bibirku ke arahnya. Apalagi, kelam kabut Hanim bangun dengan membalut tubuhnya dengan kain selimut.
Solat subuh pertama berjamaah bersama isteriku. Damainya perasaan hanya Allah yang tahu bila isteriku mengucup tanganku dan aku membalas dengan kucupan di dahinya.  Ada terselit perasan syahdu dan sayu.  Ada juga terdetik rasa kesal kenapa lambat benar penyatuan ini. Astaghfirullahhal’azim…Adakah aku mempertikaikan takdir Allah? Ampunkan prasangkaku Ya Allah…Sesungguhnya apa yang Kau takdirkan itulah yang terbaik.
“Sayang, terima kasih sebab sudi terima abang dalam hidup sayang…Abang rasa bahagia sangat. Sayang rasa tak?”
Hanim mencium laju pipi kananku lantas melabuhkan tubuhnya di atas dadaku. Dia hanya mengangguk. Malu la tu…Kami sama-sama rebah di atas sejadah dengan tubuh Hanim masih dibaluti telekung. Tak puas rasanya aku menatap wajah isteriku. Ku usik-usik pipinya dengan jari telunjukku hingga membawa kehidung dan bibirnya.
“Sayang ada hutang lagi dengan abang, ingat tak?” Dia mengerutkan kening.
“Hutang apa lagi? Kan malam tadi sudah?” Wajah isteriku mula memerah. Tak tahan aku melepaskan tawa.
“Mana cukup sekali, kalau hutang tu tiap-tiap malam abang tuntut tau…”
“Abanggg…”
“Awww…sayang ni kalau tak mencubit memang tak sah, kan?”


Tuesday, 16 October 2018

Aku Ingin Bahagia 5


“Ya Allah…apa abang buat ni?” Aku terpegun berdiri sambil menutup mulutku. Perasaan terharu, malu, teruja semua berkumpul menjadi satu. Beberapa pengunjung sudah mula mengeluarkan telefon bimbit masing-masing. Aduh...pastilah peristiwa ini akan tular tak lama lagi. Beberapa komentar juga kedengaran pada cuping telingaku.
“Wah…romantik la brader tu…”
“Eh...cepat-cepat rakam…”
“Sis, cepat terima…kalau tidak mahu kasi saya saja…” lalu disambut gelak tawa.
Aku cuma mampu mengangguk kepala perlahan. Air mata sudah laju mengalir di pipiku.
“Encik, boleh saya bantu untuk sarungkan cincin?” Tiba-tiba seorang wanita berdiri di sebelahku menawarkan dirinya. Manager di sini rupanya. Jeffry berdiri lantas segera menghulurkan kotak berisi cincin kepada wanita itu. Perlahan wanita itu mencapai tanganku dan menyarungkan cincin ke jari manisku. Aku pandang Jeffry, dia membalas dengan isyarat yang hanya difahami aku ‘terima kasih, sayang…’
Seluruh premis riuh kembali. Kali ini dengan tepukan gemuruh dan ucapan tahniah. Beberapa pengujung bersalaman dengan kami.  Aku dan Jeffry meninggalkan premis yang akan menjadi kenangan seumur hidup kami dengan ucapan terima kasih kepada semua. Perasan artis pun ada bila kami melangkah sambil melambai tangan kepada semua pengunjung dan staf.
Kami sampai semula ke rumah Amzar dan Roslina ketika matahari sudah meninggi. Tidak sedar lama juga kami di sana. Di muka pintu sudah menunggu buah hatiku si Elaine. Di belakangnya berdiri Amzar dan Roslina dengan wajah penuh pertanyaan. Apabila Jeffry mengangkat tinggi kedua tangannya sambil menunjukkan isyarat ‘bagus’ sambil tersenyum, itu sudah memadai untuk difahami keduanya. Elaine berlari mendapatkan kami dan segera memeluk kakiku.
“Eh…ingatkan mau peluk daddy?”  Jeffry mendepakan tangan tapi hanya memeluk angin…haha…Jeffry segera mendapatkan Amzar, bersalaman, berpelukan serta berbisik-bisik. Entah apalah komplot antara keduanya.
“Elaine rindu mama dia tu. Entah berapa kali tanya mana mama sejak bangun tidur.” Aku tunduk mencium rambut Elaine. Roslina turut mengusap rambut anak ini. Siapa yang tak jatuh kasih dengan kecomelannya. Aku dapat merasakan Elaine tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi dari seorang ibu. Persoalanku belum terjawab. Di mana Hazel? Susah benar Jeffry untuk merungkaikan semua tanda tanyaku. Konon tadi berjumpa untuk menjawab soalan, sudahnya aku yang beri jawapan. Ini sungguh tidak adil!  
Tiba-tiba...
“Anim!” Roslina memelukku dengan erat. Dia segera menggapai tanganku dan menayangkan jari manisku ke arah Azmar.
“Abang, tengok sini!” Eh…dia pulak yang lebih excited seolah dia yang dilamar. Amzar sudah terlebih lebar senyuman macam nak dapat menantu. Hisyy…aku pula yang keliru.
Kami sama-sama masuk ke dalam rumah. Aku cuba mengambil nafas. Tenang Anim, tenang... Ini hanya permulaan.
“Am, Ros, ini abang nak buat official announcement, Anim dah terima abang. Abang rasa sangat bersyukur. Abang nak minta tolong lagi kat kau orang berdua untuk uruskan hal kami ni. Maklumlah parents abang tak akan turun tangan dalam hal nikah kahwin abang.”
Aku memandang Jeffry. Semua berkenaannya masih lagi misteri buatku. Jeffry membalas pandanganku dengan wajah minta simpati. “Honey, abang minta maaf lagi sebab…”
“Sebab satu soalan Anim pun abang tak jawab. Tapi abang buat Anim terima abang depan orang ramai tadi.”
“Anim, kau jangan buat hal. Nak tarik balik ke?” Nah, Hitler sudah bersuara.
“Am, jangan marah dia. Abang yang salah sebab tak berterus terang dalam banyak hal. Boleh tak bagi kami berdua masa?”
Amzar mengangguk perlahan. Dia menarik tangan isterinya meninggalkan kami berdua.
Jeffry memandangku semula.
“Abang akan mula dengan kenapa abang kahwin dengan Hazel. Abang harap sangat-sangat Honey tak terfikir untuk tolak lamaran abang. Please, sayang…abang tak sanggup kehilangan Honey buat kali kedua. Kalau mungkin Honey masih marah abang, marahlah tapi pandanglah Elaine.  Mungkin abang kedengaran selfish, ya abang mengaku. Dalam hidup abang sekarang tak ada yang lebih penting dari Elaine. Abang akan buat apa saja untuk dia. Dia sangat sayangkan Honey, sangat perlukan Honey untuk ganti kasih mommy yang tak pernah dia dapat.”
Mataku sudah mula merah. Kugagahkan diri untuk bersuara tanpa kedengaran sebak.
“Abang nak Anim terima sebab simpati? Abang gunakan Elaine?”
“Ya, asalkan Honey terima kami berdua. Katalah apa saja abang terima. Tapi Honey sedar kan yang abang memang sayangkan Honey sejak dari dulu?”
Aku hanya mendiamkan diri.
“Okey…abang nak mula cerita. Lepas Masri cakap dia bakal tunang Honey, abang rasa macam nak terjun bangunan. Kecewa tak tau nak cakap.  Abang pergi sambung belajar, tak mau fikir pasal Honey lagi. Lepas tamat master abang minta posting sekolah lain. Abang fikir masa tu Honey dah bahagia dengan Masri. Abang pun malas nak ambil tahu pasal Honey lagi. Masa tu abang hidup macam robot. Abang jadi murung, pendiam, tak mau bergaul dengan orang. Pegi kerja, balik abang akan berkurung dalam bilik.”
Jeffry menarik nafas panjang.
“Mummy paksa abang kahwin. Dia carikan calon sebab abang kata tak ada sesiapa.  Hazel waktu tu baru 21 tahun. Sangat muda banding dengan usia abang. Abang setuju sebab abang fikir mungkin dapat lupakan Honey dengan cara kahwini dia. Tapi abang silap. Lepas Elaine lahir, Hazel mula tunjuk perangai. Abang dapat tau dia affair dengan bekas boyfriend dia. Abang tak larang pun dia, abang biarkan saja sebab…dalam hati abang hanya ada Honey…”
Aku pula yang nenarik nafas panjang. Begitu dalamkah rasa sayangnya padaku?
“Kemuncaknya dia tinggalkan kami. Suatu hari abang balik rumah dia dah tak ada. Semua barang-barang dia bawa. Elaine dia hantar pada mummy untuk dijaga. Masa tu umur Elaine baru enam bulan.  Mummy marah abang sebab tak bagi perhatian dan kasih sayang pada Hazel. Abang tak marah dia lari asalkan dia tak bawa Elaine sama. Hidup abang bertambah kacau. Hati abang bertambah tidak tenang. Waktu tu lah abang rapat dengan Ustaz Muhammad. Dia nampak abang macam orang tak betul. Kami banyak berbual, bertukar pendapat. Dia banyak bagi abang fakta suruh abang fikir, bagi abang buku untuk baca. Abang sendiri banyak tonton youtube dengar ceramah agama. Alhamdulillah dengan bantuan dia abang mengucap kalimah suci itu.”
Alhamdulillah…hatiku berbisik.
“Mummy dan daddy abang tidak membantah sebab nampak hidup abang jadi lebih teratur sejak abang kembali kepada fitrah. Abang masih tinggal di rumah keluarga. Suatu hari abang terjumpa dengan Amzar. Dari Am abang dapat tau semua pasal Honey. Abang sengaja memohon untuk jadi pentadbir di sekolah kita. Sampailah suatu hari abang dapat surat penempatan, abang pergi lapor diri di sana dan jumpa dengan orang yang pura-pura tak kenal abang. Abang rasa nak ketuk kepala dia biar ingatan dia pulih.”
Eh…kenapa dah lain macam cerita dia ni? Jeffry sudah tersenyum nakal. Oh…nak kenakan aku ye. Aku segera mengeringkan air mataku. Hilang terus feeling sedih.
End of story…Sekarang Honey kena jawab soalan abang. Kenapa Honey jual mahal dengan abang?”
“Eh…mestilah. Tak kanlah nak jual murah pulak.” Aku segera bangun meninggalkan Jeffry yang terkulat-kulat. Hah…nak kenakan aku sangat.
“Honey hutang dengan abang tau!” Dari jauh Jeffry melaung tanda tidak puas hati. Aku hanya ketawa.
Selepas minum petang kami berempat sekali lagi duduk ‘bermesyuarat’ untuk urusan penyatuan aku dan Jeffry. Kalau difikirkan agak lucu juga, sendiri mau kahwin sendiri kena urus. Kalau di kampung sudah semestinya semua urusan diserahkan kepada orang-orang tua.  
“Abang nak nikah paling lewat pun hujung bulan depan.”
“Abang!” Serentak kami bertiga menjerit.
What? Tak boleh ke?”
“Amboi abang ni, kot ye pun bawalah bersabar. Nak kena urus wali lagi ni, bang. Abang sulung Anim nak dimaklumkan. Kalau dia tak dapat datang kena urus surat wali sebagai tanda izin, mau booking imam nak nikahkan lagi.”
“Abang tak nak ke buat majlis? Nak nikah saja?”
Barulah Jeffry termenung memikir.
“Iye kan…nak booking hotel lagi. Sorry…abang kalau boleh nak nikah sekarang juga.”
Aduh…aku sudah geleng kepala. Boleh datang migraine kalau begini.
“Abang dah bazirkan masa begitu banyak, tak sanggup nak bertangguh lagi. Kan, Honey…? Elehh…nak gunakan aku pulak. Amzar dan Roslina sudah pegang perut menahan ketawa. Aku pula yang tersipu-sipu. Gelojoh juga bakal cik abang aku ni. Hisyy…
Wah, panjang juga senarai perkara yang perlu dibereskan. Tarikh sudah ditetapkan. Aku turut merasa bimbang dengan perancangan kami.  
Hari yang ditunggu akhirnya tiba. Kami dinikahkan di masjid daerah oleh juru nikah yang ditauliahkan oleh jabatan agama. Saksi dan pengiring dari kalangan rakan-rakan kami. Dengan sekali lafaz, aku sah menjadi isteri Jeffry. Sayu dan sebak saat Jeffry menyarungkan cincin untuk membatalkan air sembahyang. Aku sempat menitiskan air mata ketika mengucup tangannya. “Sayang, basah tangan abang ni.” Sempat lagi dia mengusikku. Agak lama dia melabuhkan bibirnya di dahiku sehingga menjadi usikan rakan-rakan kami.
“Abang, bawa bersabar. Tak kan lari ke mana isteri abang tu…”
Kami bergerak ke Hotel Melati untuk majlis makan bersama tetamu jemputan. Walaupun tidak seramai mana tetapi aku berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan majlis ini. Aku sangat bersyukur dengan kehadiran mummy dan daddy. Walaupun ada di kalangan auntie dan uncle Jeffry yang tidak hadir, aku tidak berkecil hati. Masih ada di antara mereka yang tidak dapat menerima Jeffry kembali kepada fitrah. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada mereka.
Majlis kami berakhir sebelum waktu solat asar. Semua tetamu sudah pulang termasuk Elaine yang mengikut Amzar dan Roslina. Kami menempah pakej bulan madu kononnya di hotel ini untuk satu malam. Walaupun Elaine berat hati untuk berpisah denganku, terpaksa kami memujuknya dengan berbagai ‘rasuah’ antaranya pergi ke taman tema hujung tahun nanti. Mana boleh kacau daddy dan mama!
Tetapi bila kufikirkan semula, menyesal pula biarkan Elaine mengikut Amzar dan Roslina. Aduhai…mana mau lari malam ni? Elaine, tolong mama…
“Sayang, jom…” Jeffry sudah mengangkat kening dengan senyuman yang kelihatan amat jahat di mataku. Oh…nak buli aku ye…