Tetamu
telah mula memenuhi ruang tamu rumah kami. Biarpun hanya kecil-kecilan ramai
juga rakan dan jiran tetangga yang memenuhi jemputan. Daddy kelihatan segak
dengan memakai baju Melayu. Dia yang bersungguh ingin memakai seperti itu.
Sempat juga diusik oleh cucu kesayangannya.
“Eh,
aki handsome macam daddy aritu masa kahwin sama mama.” Elaine sudah
berpusing-pusing membelek akinya. Boleh pula daddy tersipu-sipu malu bila jiran
tetangga turut mendengar usikan Elaine. Semua yang memandang turut tersenyum.
Sementara majlis berjalan daddy duduk di luar rumah berteman si Alex. Eh, awal
juga Alex sampai seolah mahu solat hajat bersama.
Majlis
dimulai dengan solat hajat diikuti oleh tahlil dan bacaan Yassin yang diketuai
oleh Ustaz Muhammad. Insan yang sangat berjasa mendorong perubahanku sehingga
menjadi diriku yang baru. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.
Selesai
bacaan doa masing-masing dijamu dengan nasi kerabu buatan Roslina. Kelihatan di
satu sudut isteri kesayanganku duduk diapit oleh Fanny, isteri Alex dan Shila,
isteri Joe aka Japirin. Eh, dah kenapa pula Hanim terhinggut-hinggut bahu?
Isy…kena buli ke apa bini aku ni? Aku segera menoleh ke arah kedua rakanku.
Rupanya mereka sedang memandangku sambil tersenyum. Joe siap kenyit mata dan
memuncungkan mulutnya ke arah isteri-isteri kami. Apa kes? Alex menggelengkan
kepala sambil menghantar isyarat ‘biarkan saja, jangan masuk campur’.
Aku
tidak sabar menanti tetamu pulang. Bukan niat menghalau tapi aku tidak sabar
untuk melihat Hanim. Sepanjang majlis berjalan ketara benar senyuman diukir
dengan payah. Apa juga yang mengganggu fikirannya? Jangan-jangan dia mendengar
sesuatu yang tidak baik tentang diriku dari ‘isteri-isteri gangster’ tadi.
Haissyy… Aku bimbang. Selesai menghantar tetamu terakhir dan menutup pagar aku
segera menuju ke dapur. Hanim kelihatan agak letih. Tubuhnya menyandar di tepi
sinki.
“Sudah-sudah
la tu sayang. Kan abang dah suruh rehat tadi. Esok saja kita kemaskan semua
ni.”
Kudakap
tubuh kesayanganku ini sebelum dia rebah. Terasa benar dia lemah. Dia
meletakkan kepalanya kedadaku. Esakan mula kedengaran. Lama kelamaan menjadi
tangisan yang deras.
“Sayangggg,
kenapa ni… Kita naik atas tidur, okey? Abang sikut sayang?”
Hanim
langsung tidak mahu melepaskan pelukannya. Haila…banyak lagi airmata dia
agaknya.
“Syyy…sayang
bertenang okey, jangan menangis banyak sangat. Nanti mummy ingat abang buli
sayang pulak.”
“Babang!”
“Daddy!”
Alamak,
baru kata dah datang dua orang ‘inspektor’ ni. Habislah aku…
Elaine
segera naik di atas kerusi dan menarik mamanya dari pelukanku. Demi melihat
airmata Hanim dia segera melompat turun dan berlari ke ruang tamu. Kenapa pulak
tu? Mummy pula mencerlungkan matanya.
“Apa
babang buat Anim menangis? Babang marah dia?” Amboi mak, garangnya mummy.
“Mummy
ni, teda la…Mana ada babang marah dia, babang sayang bah isteri babang ni…”
Elaine
datang dengan tisu di tangan. Dia naik semula di kerusi lantas menyapu air mata
Hanim. Bising mulutnya bertanya.
“Mama
sakit? Daddy marah mama? Mama jangan nangis, kakak sayang mama…Daddy, kenapa
mama nangis?”
“Err,
mama sakit perut. Ha…mama sakit perut makan banyak sangat nasi kerabu makcik
Ros.”
Mummy
mencubit pinggangku. Aduh! Elaine bolehlah termakan dengan alasanku. Tapi mummy
tahu sajalah, sayangkan menantu lebih dari anak sendiri.
“Jangan
macam-macam babang. Bawa Anim naik rehat di atas.”
“Mama
sakit perut? Baby sakit juga? Kesian baby kakak…Mama jangan sakit…” Mau ketawa
juga aku dengan gaya Elaine. Tapi aku menahan tawa demi terpandang wajah
mencerut mummy. Segera aku mencempung Hanim dan membawanya ke bilik atas. Dia
tidak melepaskan pelukannya dengan tangisan yang tidak juga reda.
“Ab…abang,
An.. Anim.. isk.. isk.. minta… minta maaf de.. dengan ab.. abang… isk.. isk..
An… Anim…banyak silap de… dengan…ab…abang. Anim buruk isk… isk…sangka de…
dengan…ab… abang…”
“Sayang,
kenapa ni? Sayang bertenang dulu, okey? Abang tak faham sayang cakap apa.”
Tangisan
Hanim bertambah deras. Dia tetap ingin bersuara tetapi tenggelam dalam raungan
pula. Ya Allah, apa dah jadi ni?
“An…
Anim malu de… dengan ab… isk… isk…ma… maafkan Anim, ab…abang…”
“Sayang
bertenang dulu, jangan cakap apa-apa ye.”
Keadaan
Anim kelihatan semakin lemah. Dalam esakan dia tetap ingin bersuara dengan
keadaan tercungap-cungap.
“Am…ampunkan
An…isk...isk…Anim, bang. Anim takut…”
Akhirnya
dia benar-benar jatuh dalam dakapanku. Aku segera meletakkan Hanim di atas
katil lantas meluru ke bilik sebelah mencari mummy dan daddy.
“Daddy!
Anim pengsan!”
“Hah?”
Daddy
yang baru merebahkan tubuh bingkas bangun dari katil. Aku segera mencempung
Anim dan membawa turun. Mummy turut kalut tetapi yang paling kelam kabut
tentulah Elaine. Dia yang terlebih kuat meraung melihat mamanya terkulai tidak
bermaya dalam kendonganku.
“Cepat
sini kunci daddy bawa kereta. Kau di belakang jaga Anim. Mummy jaga kakak
jangan himpit si mama.” Daddy sudah kedengaran seperti jenderal. Oh, jangan tak
tahu beliau pesara tentera berpangkat sarjan. Dia membawa kereta dengan cekap
dan laju. Hanim masih meracau tetapi nafasnya amat perlahan. Ya Allah, risaunya
hatiku hanya Allah yang tahu.
Sampai
saja di bahagian kecemasan terus kuterjah masuk tanpa memperdulikan panggilan
cik misi di kaunter pendaftaran.
“Maaf,
maaf, kecemasan ni dia sukar bernafas!”
Hanim
kelihatan beransur pulih selepas mendapat bantuan pernafasan. Nampaknya dia
harus bermalam di wad sehingga benar-benar stabil. Oleh kerana dia mengandung
doktor tidak mahu mengambil sebarang risiko.
“Tekanan
darahnya agak rendah dan masih perlu bergantung dengan alat bantu pernafasan. Esok
saya akan buat pemeriksaan menyeluruh. Buat masa sekarang biarkan Puan Hanim
berehat dulu.”
“Baiklah
doktor, terima kasih.”
Elaine pulang ke rumah dengan berat
hati. Berpuluh kali dia mencium pipi mamanya diiringi pesanan penaja untuk
daddy.
“Daddy jaga mama, okey.”
“Daddy jangan marah mama.”
“Nanti kasi mama minum susu biar
mama cepat baik.”
“Kalau mama bangun cepat-cepat daddy
call kakak, okey?”
Aku mengangguk kepala setiap kali
dia berpesan. Dah nak jadi burung belatuk rasanya…haha…
Sementara menunggu Hanim aku sempat
menghubungi Alex. Dalam masa 15 minit dia muncul dengan Fanny. Pecut ke apa?
Fanny yang terlebih dahulu menghampiri kami. Dengan wajah yang agak bersalah
dia menggenggam tangan Hanim. Ni mesti ada apa-apa ni…
“Jeff, aku minta maaf bagi pihak
bini aku ni. Entah apa yang dorang cakap sama si Hanim pun aku tak tau. Kau
tanyalah dia.”
“Jeff, sorry ahh…. tidak sangka
Hanim lembut betul hati dia. Saya rasa bersalah ni…” keluh Fanny dengan wajah
murung.
“Tak apalah. Benda mau jadi. Lepas
ni kamurang kena train si Hanim jadi
brutal sikit.” Aku cuba berlawak untuk meredakan suasana.
“Dear, you tunggu Hanim sekejap ahh.
I nak cakap sama Jeff”. Aku turut merasakan nada bersalah pada Alex. Kami
berdua bergerak ke kantin. Rupanya Joe aka Jupirin telah menunggu di sana.
Seorang tanpa Shila.
“Shila tidak dapat datang. Tiada
orang jaga anak kami.”
Terharu aku dengan sikap ambil tahu
kedua rakan karibku. Mereka menceritakan kisah yang berlaku sehingga
menyebabkan Hanim jadi begitu. Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda faham.
Hmmm…alahai isteriku…
“Shila cakap dia kasi tau si Hanim
kalau berdosa dengan husband nanti susah mau bersalin. Hanim terus menangis.
Banyak lagi la yang Shila cakap konon Hanim tidak bersyukur dapat husband baik
macam kau. Mungkin dia terasa betul sebab sebelum ini dia tuduh kau macam-macam
kan?”
“Fanny pulak kasi tau kau ni ramai
peminat. Silap-silap nanti kau tambah bini kalau dia buat perangai.”
Aduhhai…apa la jenis gossip yang
‘bini-bini gangster’ ni cerita kat Hanim. Patutlah dia terus breakdown.
“Nampaknya aku kena hantar Hanim ke
‘sekolah bini-biniku gangster” biar dia belajar tahan hati.” Kata-kataku
disambut ketawa.
Mereka beredar dari hospital sekitar
jam 12 malam. Nampaknya malam ini aku terpaksa menjadikan kerusi malas sebagai
katil. Sebenarnya tidak ada istilah terpaksa kalau ia berkaitan buah hatiku
ini.
“Abang, kalau abang letih baliklah
rehat di rumah. Anim okey dah ni…” Hanim merenungku dengan pandangan sayu. Dia
sudah boleh bercakap dan sekarang duduk bersandar di katil. Masih ada kesan
rasa bersalah pada raut wajahnya meskipun berulangkali aku menyatakan kemaafan.
Dia mencapai tanganku, menarik ke arah bibirnya dan mengucup perlahan dan lama.
“Betul sayang nak abang balik?
Tinggalkan sayang sorang-sorang sini?”
Hanim masih lagi memegang tanganku
dan meramas jari-jariku seperti enggan dilepaskan. Eleh…mulut kata lain, hati
kata lain. Tahu sudah jawapan hatinya. Dia
menggigit bibirnya seperti orang serba salah.
“Honey, jangan buat macam tu. Abang
geram!” Aku mendekati wajahnya dan berbisik perlahan. Serta merta wajahnya
merah. Haha…sayangku tak pernah tak comel kalau tersipu.
“Anim tak mau abang penat. Esok nak
pergi office lagi kan…”
“Mana ada penat. Abang kan hero
sayang.” Aku mengenyit mata dan isteriku makin merah wajahnya. Timbul balik
seri wajah yang sebelum ini suram. Alhamdulillah….
“Dah lewat malam ni. Sayang tidur,
okey? Rehat biar cukup. Abang tak akan tinggalkan sayang sendiri dan Honey
janji dengan abang tau, jangan tinggalkan abang dan Elaine kecuali maut
menjemput,” bisikku.
“Anim janji, abang. Maafkan Anim
sebab…” Aku segera meletakkan jariku di bibirnya. Dengan perlahan aku menolak tubuhnya
berbaring, menarik selimut menutupi dadanya. Tanpa memperdulikan orang ramai di
katil bersebelahan, aku mengucup dahi isteriku, lama.
“Kalau sayang cakap lagi abang cium
sayang lama-lama. Biar semua orang tengok. Nak?”
“Nak!” Secepat itu juga Hanim
menarik selimut menutup mukanya. Oh, nakal ye….
Keesokan harinya.
“Encik jangan risau, dia sudah
stabil sekarang. Cuma lelah saja. Tapi saya perlu scan perut untuk tau keadaan
baby ye.” Lembut saja puan doktor memberi penerangan.
“Lelah?
Dia tak pernah pun kena lelah sebelum ni?” Di sini kami memanggil lelah sebagai
‘ampus’. Hanim bukan pengidap lelah pun.
“Oh,
memang kadang-kadang ibu mengandung akan mengalami penyakit yang tidak pernah
dia hidapi sebelum ini. Contohnya seperti lelah, darah tinggi atau kencing
manis. Tetapi selepas bersalin penyakit tersebut akan hilang.”
Sambil
memberi penerangan tangan puan doktor dengan cermat melakukan scan ke atas perut isteriku. Elaine
memerhati dengan penuh minat. Sebelum
itu puas mummy memujuk Elaine ke sekolah tetapi enggan. Dia berkeras mahu
melawat dan menjaga mama kononnya.
“Alhamdulillah
nampaknya babies sihat, degupan
jantung normal. Ada pergerakan. Encik boleh lihat sini.”
“Babies? Maksud doktor dua?” Aku
mengangkat dua jari. Puan doktor tersenyum sedangkan aku, Hanim dan Elaine
memandangnya dengan penuh kehairanan. Seolah baru tersedar, Elaine segera
menjerit kegembiraan. Aku cuba menahan diri dari memeluk Hanim.
“Kakak
ada dua baby kan, mama? Dua kan?”
“Ya,
kakak ada dua baby dalam perut mama.” Ujar puan doktor sambil dia mengucapkan
tahniah kepada kami. Sesungguhnya aku tidak sabar untuk pulang dan melakukan
sujud syukur. Hanim kelihatan sungguh terharu, bibirnya terkumat kamit membaca
sesuatu. Elaine pula tidak lepas menggenggam tangan mamanya. Senyum usah
katalah, sampai telinga!
Kami
sampai di rumah lewat tengahari itu. Sebaik pintu kereta dibuka Elaine meluru
masuk memanggil mummy dan aki. Ya Allah…tak pernah aku lihat Elaine sebegitu
teruja.
“Mummy!
Aki! Kakak ada dua baby! Kakak ada dua baby!”
Mummy
dan aki telah dimaklumkan awal tapi tetap teruja walaupun tidak separah Elaine.
Mummy memeluk Hanim dengan sangat erat dan lama.
“Mummynya,
sudahlah tu. Kan Hanim penat mau berehat.” Perlahan daddy menegur mummy. Aku
hanya mampu tersengih melihat telatah mereka. Keletihan menjaga Hanim semalaman
dengan tidur yang tidak selesa sama sekali tidak terasa dek kegembiraan dan
kesyukuran atas anugerah Allah ini.
Petangnya
kami dikunjungi oleh Amzar sekeluarga. Sofea muncul dengan wajah yang sedikit
murung. Bila aku angkat kening pada Amzar, dia hanya senyum. Nampak dia menahan
tawa. Oh rupanya semalam Elaine telah menelefon rakan baiknya itu dan dengan
bangga bercerita dia akan mendapat adik kembar.
“Yang
paling tak tahan Elaine cakap daddy dia pandai buat adik twin. Terus Sofea
suruh aku buat adik twin juga untuk dia. Aduh…tak reti aku nak jawab apa,”
keluh Amzar. Kami semua ketawa mendengar cerita Amzar. Hai…budak-budak sekarang
bergosip boleh tahan.